Betul Ke Pakai Sarung Tangan Buat Kebersihan Makanan Lebih Terjamin? Ini Apa Yang Patut Korang Tahu

Health & FitnessFood
4 Jul 2025 • 4:56 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kebersihan merupakan aspek penting yang perlu dititik beratkan oleh setiap individu lebih-lebih lagi peniaga makanan.

Namun jika dilihat, kebanyakan peniaga pada masa kini menjadikan kebersihan sebagai perkara yang paling diutamakan.

Bermula dari proses mencuci bahan mentah dan alat yang akan digunakan sehinggalah cara memegang makanan, semuanya itu dititik beratkan oleh penjual yang mementingkan perkara ini.

Jika dilihat, kebanyakan pengendali atau peniaga makanan kini menggunakan sarung tangan bagi memelihara kualiti sekaligus menjaga kebersihan makanan.

Namun, pernah tak terfikir adakah pemakaian sarung tangan itu sebenarnya selamat untuk digunakan?

Sarung Tangan Hanya Untuk Sentuh Makanan, Tak Boleh Pegang Benda Lain

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengendali makanan seharusnya menggunakan sarung tangan hanya untuk memegang makanan sahaja.

Namun, ada segelintir kumpulan ini yang dilihat menyentuh permukaan dan objek lain seperti wang, peralatan memasak, cawan dan pinggan dengan memakai sarung tangan ketika mengendalikan makanan.

Malah, ada segelintir yang menyentuh wajah dan anggota badan seperti mata dan hidung sewaktu pemakaian sarung tangan.

Jelas KKM, tindakan sebegitu boleh menyebabkan bakteria daripada objek tersebut berpindah kepada makanan sekaligus menjejaskan kualiti hidangan tersebut melalui pemakaian sarung tangan.

Situasi ini juga boleh menyebabkan individu yang menikmati hidangan tersebut berisiko untuk mengalami keracunan makanan.

“Guna sarung tangan hanya untuk sentuh makanan. Peringatan, sarung tangan bukan pengganti basuh tangan,” tulis mereka dalam satu hantaran pada tahun lalu.

Tujuan pemakaian sarung tangan dalam kalangan pengendali makanan adalah untuk menyentuh makanan sahaja. Namun, terdapat…

Posted by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA on Friday 22 March 2024

Boleh Tak Pakai Sarung Tangan Ketika Berniaga Tapi Bersyarat

Tidak semestinya jika seorang peniaga itu tidak memakai sarung tangan ketika berniaga ia disifatkan sebagai tidak bersih.

Menurut seorang doktor perubatan, Dr Kamarul Arifin Nor Sadan, perkara yang paling penting patut dilihat adalah cara seorang peniaga itu mengendalikan makanan.

“Kalau dia tak pakai sarung tangan, belum tentu kotor. Kalau dia pakai sarung tangan, belum tentu bersih.

“Tangan bukan sesuatu yang kotor. Cuma kita kadang-kadang sentuh permukaan yang tak bersih, jadi kekotoran tu berpindah ke tangan.

“Kekotoran yang dimaksudkan adalah kuman (bakteria, virus, kulat) berbahaya, debu, racun, najis dan sebagainya,” tulisnya di satu hantaran di Facebook.

Kongsinya lagi, tidak menjadi satu masalah sekiranya peniaga menggunakan tangan ketika berniaga asalkan anggota badan itu dicuci dengan sempurna sebelum menyentuh makanan.

“Jadi, jika kita cuci tangan dengan sempurna sebelum menyentuh makanan, maka ia tidak jadi masalah.

“Nak cuci tangan perlukan air dan sabun (atau pembasmi kuman), dan kadang-kadang di tempat niaga, bekalannya terhad,” jelasnya.

Susun & Asingkan Tempat Berniaga Mengikut Seksyen Bersih & Kotor

Oleh sebab itu dia mencadangkan cara yang sepatutnya lebih baik untuk mengendalikan makanan adalah dengan menjadikan tempat berniaga lebih tersusun dengan mengasingkan seksyen bersih dan kotor.

“Sebab itu pentingnya menyusun tempat meniaga tu agar ada seksyen bersih dan seksyen “kotor”.

“Kawasan dan peralatan persediaan makanan hanya boleh ada di seksyen bersih. Peralatan lain boleh di seksyen kotor.

“Jika tersentuh kawasan atau alatan dari seksyen kotor, maka perlu cuci tangan atau tukar sarung tangan sebelum sentuh makanan.

“Alternatifnya, seorang pengendali makanan ditugaskan di seksyen bersih, seorang lagi di seksyen kotor. Jangan silang seksyen,” tulisnya lagi.

Cara lain yang boleh digunakan adalah dengan menggunakan peralatan untuk menyentuh makanan dan memastikan alat tersebut tidak bersentuh dengan kawasan yang kotor.

Malah, dia sekali lagi menegaskan apa yang paling penting sekiranya mahu melihat kebersihan makanan adalah melalui cara peniaga mengendalikannya.

“1. Kalau peniaga tak pakai sarung tangan, dan dia tak cuci atau bersihkan tangan sebelum sentuh makanan, maka makanan akan tercemar.

“2. Kalau peniaga pakai sarung tangan, dan dia tak tukar sarung tangan sebelum sentuh makanan, maka makanan akan tercemar,” kongsinya.

"Peniaga makanan perlu pakai sarung tangan atau tak?" Sebenarnya, apa yang kita kena lihat adalah bagaimana peniaga…

Posted by Kamarul Ariffin Nor Sadan on Sunday 2 March 2025

Sarung Tangan Nitrile (Powder-Free-Glove) Paling Selamat Digunakan

Dalam pada itu, KKM menerusi satu hantaran di Facebook juga ada menjelaskan sarung tangan yang selamat digunakan oleh pengendali makanan.

Jelas mereka, sarung tangan jenis nitrile (powder-free-glove) paling selamat digunakan kerana tidak meninggalkan sisa kotoran.

“Sarung tangan hendaklah dipakai untuk sekali guna sahaja dan tidak boleh diselang selikan dengan memegang peralatan lain bagi mengelakkan pencemaran silang,” tulis mereka.

KKM ingin memaklumkan penggunaan sarung tangan berwarna kuning adalah untuk pencucian dan tidak sesuai untuk…

Posted by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA on Friday 22 March 2024

7 Langkah Ringkas Cuci Tangan Dengan Betul

Buat mereka yang lebih selesa menggunakan tangan ketika berniaga, tiada salahnya.

Asalkan tangan dicuci dengan betul dan paling penting tidak memegang permukaan atau objek yang mempunyai kotoran.

Ini panduan dari KKM tentang cara mencuci tangan dengan betul.

  1. Basahkan tangan dan ratakan sabun
  2. Gosok kedua-dua tapak tangan
  3. Gosok setiap jari dan celah jari
  4. Gosok dengan kuku di tapak tangan
  5. Gosok belakang tangan dan celah jari
  6. Basuh tangan dengan air bersih secukupnya
  7. Keringkan tangan dengan tisu

Tips Keselamatan Makanan Amalkan tujuh (7) langkah cuci tangan sebelum penyediaan makanan.

Posted by Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM on Wednesday 8 April 2020

Source: