
HOBI bermain beyblade bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang bagi Muhammad Afiq Muhammad Asrie.
Sebaliknya, permainan itu menjadi medan untuk remaja berusia 12 tahun itu menguji strategi, daya fikir dan ketahanan mentalnya.
Beyblade ialah permainan gasing moden yang dimainkan dengan melancarkannya menggunakan pelancar ke dalam arena, di mana setiap pemain berusaha menjatuhkan atau menghentikan beyblade lawan.
Permainan itu turut mempunyai beberapa kategori seperti attack, balance, stamina dan defense yang memerlukan strategi berbeza.
Bagi pelajar Sekolah Kebangsaan Peramu Jaya, Pekan, Pahang itu, minat terhadap beyblade bermula ketika berusia enam tahun selepas tertarik dengan siri anime berkaitan permainan itu.
Sejak itu, minatnya semakin mendalam apabila dia mula bermain dalam siri Beyblade Burst, sebelum beralih kepada Beyblade X yang diperkenalkan pada awal tahun lalu.
“Saya suka beyblade kerana permainan ini memerlukan kerja berpasukan, terutama apabila berlatih bersama pasukan.
“Kami perlu mencari strategi untuk menang dan menguji daya fikir bagi menghasilkan kombinasi (combo) Beyblade yang terbaik,” katanya ketika ditemu bual K-Remaja baru-baru ini.
Setiap petang, remaja yang mesra disapa Afiq itu memperuntukkan kira-kira dua jam untuk bermain, berlatih serta membina kombinasi beyblade bersama rakan sekolah dan jurulatih.

Kesungguhannya membuahkan hasil apabila dia pernah memenangi pertandingan beyblade peringkat kebangsaan di Johor Bahru, selain meraih kemenangan dalam beberapa siri kejohanan peringkat negeri di Kedah, Perak, Kuala Lumpur dan Pahang.
Pada ketika ini, Afiq berada di tangga ketiga kategori individu bawah 12 tahun Kelab Sukan Gasing Beyblade (KSGB) di Malaysia, manakala pasukan sekolahnya menduduki kedudukan pertama Malaysia.
Menurutnya, beyblade bukan sekadar permainan kerana aktiviti itu turut menguji aspek rohani, jasmani dan emosi pemain.
“Beyblade bukan sekadar permainan. Ia juga menguji mental dan fizikal seseorang pemain.
“Permainan ini boleh dimainkan oleh semua peringkat umur. Strategi sangat penting untuk mendapatkan kemenangan, selain pemilihan beyblade dan teknik permainan,” katanya.
Afiq kini memiliki hampir 100 beyblade daripada pelbagai jenis, termasuk sebuah Beyblade Aero Pegasus yang dianggarkan bernilai RM2,000.
Walaupun terdapat beyblade yang berharga tinggi, namun Afiq menyifatkan kos permainan itu secara keseluruhannya masih mampu dimiliki oleh pelbagai golongan kerana barangan tersebut boleh digunakan berulang kali dan tahan lama.
Dia turut melihat perkembangan komuniti beyblade di Malaysia semakin memberangsangkan selepas permainan itu diiktiraf sebagai sukan di sekolah melalui KSGB.
Penganjuran pertandingan di peringkat sekolah, daerah dan negeri juga membantu merancakkan lagi komuniti berkenaan.
Sepanjang menceburi permainan itu, Afiq bukan sahaja memperoleh pengalaman pertandingan, malah berpeluang berkenalan dengan rakan baharu yang mempunyai minat sama dari pelbagai daerah.
“Beyblade membantu meningkatkan keyakinan diri saya untuk membuat keputusan. Saya juga lebih bermotivasi apabila terdapat ganjaran yang disediakan oleh pihak KSGB.
“Kepada remaja yang berminat mencuba beyblade, saya nasihatkan untuk memberikan keutamaan kepada persediaan mental kerana permainan ini menuntut kekuatan mental dan fizikal,” katanya.
The post Beyblade tingkat daya pemikiran, keyakinan Afiq appeared first on Kosmo Digital.
