'Biar lambat asal selamat' - Abdul Hadi jawab teka-teki Ketua Pembangkang

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 1:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Biar lambat asal selamat' - Abdul Hadi jawab teka-teki Ketua Pembangkang
Abdul Hadi (tengah) ketika hadir di Jamuan Hari Raya Pas Terengganu di Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu pada Khamis.

​KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) tidak mahu terburu-buru dalam menetapkan pelantikan Ketua Pembangkang yang baharu, sebaliknya menegaskan proses tersebut memerlukan perbincangan mendalam membabitkan semua pihak.

​Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pemilihan jawatan berkenaan perlu mengambil kira pandangan menyeluruh daripada semua Ahli Parlimen blok pembangkang, termasuk wakil dari Malaysia Timur.

​"Kita sebuah negara demokrasi dan perlu menghormati pandangan masing-masing. Pas tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa. Kita mengambil kira pandangan semua pihak dalam kalangan pembangkang.

​"Pemilihan Ketua Pembangkang ini bergantung kepada parti-parti dan Ahli Parlimen pembangkang. Sebab itu kita mengambil sedikit masa untuk mendapatkan pandangan semua pihak," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Pas Terengganu di Dataran Shahbandar, di sini pada Khamis.

​Mengulas mengenai tempoh masa pelantikan tersebut, Abdul Hadi menjelaskan bahawa masih terdapat ruang waktu yang mencukupi memandangkan sidang Parlimen hanya akan bermula pada Jun depan.

​Orang tua kata, biar lambat asal selamat," ujarnya ringkas.

​Dalam pada itu, menyentuh mengenai pertemuan beliau bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Rusila baru-baru ini, Abdul Hadi menjelaskan pertemuan itu bertujuan memperkukuh ukhuwah antara parti komponen PN.

​Katanya, hubungan dalam gabungan itu berada dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah berbangkit.

​"Pertemuan itu adalah untuk mengukuhkan hubungan antara parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional, supaya lebih erat dan kita dapat menghadapi pilihan raya secara bersama. Itu sahaja, melibatkan perkara-perkara dasar.

​"Alhamdulillah, setakat ini tiada (masalah). Walaupun terdapat perbezaan pendapat, kita tetap bersatu dari segi dasar dan matlamat," jelas beliau.

​Ditanya mengenai khabar angin yang mendakwa Datuk Seri Hamzah Zainuddin kemungkinan akan menyertai Pas, Abdul Hadi menyifatkan perkara itu sebagai pilihan individu namun enggan mengulas lanjut kerana ia bersifat andaian.

"Jika ia benar-benar berlaku, kita akan bincangkan kemudian," katanya.