Kerusi Ketua Pembangkang perlu segera diisi - Muhyiddin

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 2:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerusi Ketua Pembangkang perlu segera diisi - Muhyiddin
Muhyiddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Bersatu Terengganu di Kuala Terengganu pada Rabu.

​KUALA TERENGGANU - Kerusi Ketua Pembangkang di Parlimen perlu segera diisi bagi mengelak spekulasi berpanjangan yang boleh menjejaskan imej gabungan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun sesi Parlimen hanya akan bermula pada Jun depan, pelantikan itu tidak wajar ditangguhkan terlalu lama.

​"Kalau dibiarkan kosong terlalu lama, akan timbul pelbagai andaian yang tidak memberi gambaran baik kepada PN.

"Saya menunggu keputusan pimpinan tertinggi Pas untuk menamakan calon secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Jamuan Raya Bersatu Terengganu di sini pada Rabu.

Hadir sama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali; Naib Presiden, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris.

Dalam pada itu, ​beliau turut memaklumkan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan menghantar surat rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi memaklumkan kekosongan itu serta mencalonkan nama baharu.

Jelas beliau, Majlis Tertinggi PN telah mencapai kata putus bahawa kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Hamzah Zainudin itu akan diisi oleh wakil daripada Pas.

​Menurut beliau, keputusan tersebut selaras dengan persefahaman dalaman komponen PN dan Bersatu yang sedia menerima mana-mana Ahli Parlimen Pas yang dicalonkan.

​"Kita sudah buat keputusan di peringkat Majlis Tertinggi PN sebelum ini dan kini kerusi itu telah pun dikosongkan. Bila sudah kosong, sepatutnya ia segera diisi.

"Jadi, sesiapa sahaja Ahli Parlimen Pas yang dipersetujui untuk dicalonkan, pihak Bersatu akan menerimanya," katanya.

​Ahad lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Hamzah telah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Katanya, susulan peletakan jawatan itu, beliau telah mengarahkan Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PN untuk menghantar surat rasmi bagi memaklumkan kekosongan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

​Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama Bersatu-Pas dalam menghadapi cabaran politik semasa, selain merancang pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kediaman pemimpin itu di Rusila, Marang.

​Katanya, momentum sokongan pengundi Melayu terhadap PN kini berada pada tahap terbaik, malah mencecah sehingga 80 peratus di sesetengah kawasan termasuk di Terengganu.

​"Dalam suasana kita bakal berdepan pilihan raya, sama ada peringkat negeri atau Persekutuan, bukan sahaja kekuatan parti perlu diperkukuh, malah kerjasama di peringkat PN juga mesti diperkasakan," katanya lagi.