
SUDAH lebih 13 tahun menelan pujian dan makian. Tanpa orang tengah atau kenalan dalam industri, penyanyi, Daiyan Trisha, melalui sepak terajang anak seni seorang diri di awal kemunculannya.
Bermula dari gadis YouTube, bakat Daiyan atau Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 32, mula mencuri perhatian sejak penerbitan Kerana Kau (2013). Makin kerap diundang mengisi slot program televisyen, lebih banyak lagu, menjadi penyanyi runut bunyi, Daiyan hadir dengan pakej lengkap seorang penghibur.
Bagaimanapun, cerita Daiyan, tamparan awal yang diberikan industri dirasainya semasa masih terlalu hijau. Tapi, baik umur muda atau tidak, dia harus sedia melawan ranjau.
“Saya pernah kena gam di awal-awal kemunculan. Itu boleh dikatakan antara titik terendah saya sebagai anak seni. Ketika itu, saya buat keputusan untuk tidak lagi teruskan perjalanan dengan pengurusan stesen televisyen tersebut.
“Dengan keputusan itu, mereka tutup rezeki apabila mana-mana karya dan lagu saya tak dimainkan di stesen itu. Perkara itu berlarutan lama juga sehingga tiga tahun. Saya pernah lalui fasa kena boikot itu semua.
“Apa lagi kalau kena maki, sudah banyak kali termasuklah isu saya dikatakan tidak sokong Palestin. Tapi saya belajar, apa yang jadi, kita kena teruskan. Industri ini tunjuk pada saya sekejap kita di atas orang puji, tapi sekelip mata sahaja orang boleh maki kita.
“Saya tak pernah rasa di atas atau ‘Oh My God, I’m so hot right now’, tapi segala pengalaman itu membuat saya lebih banyak bermuhasabah diri,” katanya kepada Pancaindera, baru-baru ini.
Tambah pemenang Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-24, populariti boleh menipu dan membuat kita mencintai perkara palsu. Oleh itu, selebriti perlu selalu merenung dan mempunyai orang yang boleh membuat kita kekal merendah diri dan berpijak di bumi nyata.
“Rezeki yang masuk, adalah petanda untuk kita jaga orang sekeliling. Kawan-kawan dan keluarga adalah insan penting. Saya berdoa agar mereka sentiasa sihat. Semoga saya juga selalu ada rezeki untuk terus berkarya.
“Saya merasai populariti ini perlahan-lahan, jadi tidak terkejut. Saya sudah lihat jatuh bangunnya. Oleh itu, saya tidak pernah terfikir untuk ada strategi viral ke atau bagaimana agar nama kekal relevan,” ujarnya.

Kenapa mahu jadi Daiyan 2.0?
Ditanya mengenai hal-hal palsu dalam kehidupan artis, penyanyi Penat itu sudah tidak mahu lagi bersangka baik dengan rakan industri yang dalam diam menyimpan iri kepadanya. Bukan itu sahaja, tambah Daiyan individu tersebut cuba meniru gerak-geri, pilihan, cita rasanya malah tidak pernah mahu menyatakan sokongan kepadanya.
“Saya seorang yang ada kesabaran sangat tinggi. Mungkin seseorang itu kecewakan saya 10 kali baru hati saya bulat untuk buat sesuatu. Individu yang saya katakan ini ada yang rakan industri dan ada juga yang bukan.
“Saya tidak faham mengapa mereka stalk saya, pakai apa saya pakai, rumah pun ala saya. Seolah-olah macam cuba tiru estetik dan personaliti saya. Kenapa begitu? Kenapa mahu jadi Daiyan 2.0? Sedangkan semua itu saya fikir sendiri.
“Satu lagi, kalau betul mereka ‘kawan’ saya, mengapa mesti hendak percaya apa yang orang luar cerita tentang saya? Mengapa tidak boleh tanya sendiri? Saya fikir, mungkin mereka sebenarnya mahu tahu apa next move saya. Mereka tidak mahu sokong, tidak mahu beli pun jika kita ada keluarkan produk,” jelasnya.
Enggan berlarutan makan hati, penerima Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 mengambil keputusan untuk menyekat individu tersebut daripada terus mengikuti gerak-gerinya.
“Kalau sudah tidak mahu berkawan dengan saya, selamat tinggal. Tak apalah sendiri-sendiri asalkan saya tenang. Sekarang saya betul-betul lindungi energi diri. Mana yang sokong, likes, beli barang kita jual, sokong, itu semua saya simpan.
“Lagi pula bila kita tidak sekat, kita akan rasa sakit hati bila nampak wajah mereka lalu di Instagram. Saya cuma mahu elak emosi yang saya tidak suka. Kurang sikit dia mahu meniru atau dekati sesiapa.
“Saya pun sudah bagi banyak peluang, jadi mungkin sudah masanya. Harap dia sedar dan buat refleksi diri. Lepas ini jangan tanya pula kenapa saya tidak undang lagi awak lepak ke rumah saya,” katanya.

Tuhan tetap jalan pulang
Terperangkap dalam konflik dengan manusia sangat menghakis semangat dan tenaga. Bagi Daiyan, hujung-hujung, Allah tetap tempat mengadu nombor satu.
“Bila mana kita sudah tidak ada apa-apa lagi yang boleh bantu kita, mengadulah kepada Allah. Ia berkesan, sentiasa berkesan. Mungkin memang sudah tidak sehaluan lagi. Kunci saya adalah solat, dan luangkan masa bersama kawan serta keluarga.
“Tak ada apa atas dunia ini yang boleh balas. Biarkan Tuhan balas semua perbuatan mereka. Saya selalu doa kepada Tuhan macam berbual dengan kawan, ‘Ya Allah tengok dia buat apa dekat saya tak apa, dekat akhirat nanti lebih teruk dia kena. Jadi saya santai sahaja’,” katanya.
The post Biarlah mereka mahu buat apa, saya santai sahaja – Daiyan Trisha appeared first on Utusan Malaysia.




