Bibik 'sakit jantung' tengok bil elektrik melambung

13 May 2024 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang pembantu rumah seolah-olah mengalami 'serangan jantung' apabila melihat penyata bil elektrik yang naik tiga kali ganda berjaya dirakam oleh CCTV.

SHAH ALAM - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang pembantu rumah seakan-akan mengalami ‘serangan jantung’ apabila melihat penyata bil elektrik.

Video berdurasi 20 saat yang dimuat naik di laman sosial, TikTok milik @Alyaninazirah, telah tular dan menjadi bualan ramai apabila ramai pengguna menzahirkan penyata bil elektrik mereka meningkat.

Menurut Alyaninazirah atau nama sebenar Nur Alyani Nazirah Amran, 29, dia sama sekali tidak menjangka bahawa bil elektrik naik tiga kali ganda.

“Bukan bibik sahaja yang sakit jantung tengok bil, saya pun terkejut.

“Bulan lalu bil elektrik sekitar RM130 sahaja tetapi bulan ni naik tiga kali ganda sehingga RM400. Macam mana saya tak terkejut,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menyedari kenaikan bil elektrik itu, Nur Alyani berkata, dia kerap menggunakan penyaman udara kerana bahang cuaca panas.

Ujarnya, dia memiliki tiga penyaman udara di rumah, namun hanya satu sahaja yang sering digunakan iaitu di ruangan bilik tidur.

“Saya hanya berkongsi momen bibik melihat bil elektrik itu, kerana dia sangat terkejut.

“Saya tak sangka, ramai pengguna TikTok meninggalkan komen bahawa mereka turut mengalami nasib sama sama (bil elektrik naik),” kata wanita yang bekerja sendiri itu.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok menzahirkan bil elektrik mereka meningkat tiga kali ganda.

“Bil elektrik kite pun melambung. Bulan Februari, dua minggu rumah kosong tiada orang tapi bil lagi tinggi dari bulan sebelumnya.

“Bulan Mac makin melambung tiga kali ganda. Kerja dapat gaji nak bayar bil sahaja,” kata @daisy_white.

Sementara itu, @Sara_hamzah2 berkata, bil elektrik pada bulan April mencecah RM300 tetapi dia tidak mempunyai televisyen, Wireless Local Area Network atau WiFi dan sebagainya, namun hanya ada satu penyaman udara dan ia jarang digunakan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!