
TAWAU: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mendakwa ditawarkan jawatan dan diletakkan dibawah perlindungan saksi jika menukar pengakuan bahawa tujuh plaintif terbabit adalah pembunuh sebenar Nurman Bakaratu, tiga tahun lalu.
Usman Lanaga, 46, yang merupakan saksi ketiga berkata, beliau ditekan supaya membuat pengakuan itu sejak hari pertama ditahan pihak polis.
Beliau kemudian menceritakan kejadian itu berlaku ketika menjadi tahanan reman kedua di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna sebelum dibawa ke IPD Tawau untuk bertemu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang pada ketika itu, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.
Katanya, Abd Jalil yang dinamakan sebagai defendan pertama memaklumkan bahawa kedatangannya pada hari berkenaan adalah atas mandat Ketua Polis Negara yang pada ketika itu Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (defendan kelapan).
Usman berkata, Abd Jalil didakwa akan meletakkannya dibawah perlindungan saksi dan diberikan jawatan yang dikehendaki sekiranya bersetuju menukar keterangannya namun bertegas enggan berbuat demikian.
“Beliau (Abd Jalil) memaklumkan akan letakkan saya dibawah perlindungan saksi dan diberi jawatan yang saya kehendaki jika saya bersetuju untuk menukar keterangan saya bahawa Datuk Mat Zaki dan semua plaintif adalah pembunuh sebenar.
“Beliau juga mengugut bahawa hasil ujian sampel tanah di tayar kenderaan saya adalah sama dengan sampel tanah di lokasi kejadian bunuh. Namun saya tetap berkeras dengan pendirian saya,” katanya menerusi keterangan saksinya
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan bagi pihak plaintif dalam perbicaraan saman sivil RM190 juta yang difailkan bekas pegawai kanan dan anggota perisikan ESSCOM terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 11 defendan lain, di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamarudin, dalam pemeriksaan balasnya menegaskan bahawa saksi tidak pernah membuat laporan polis atau aduan rasmi kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan itu.
Usman yang kini menjawat jawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Keningau bagaimanapun menolak cadangan itu dan menjelaskan beliau tidak membuat laporan kerana ketika itu masih berada dalam keadaan trauma, tertekan dan bimbang terhadap keselamatan dirinya.-UTUSAN
The post Bicara saman RM190 juta: Inspektor dakwa diugut supaya tukar pengakuan appeared first on Utusan Malaysia.

