Eksponen25/09/2026 - 07:00 Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA editor@dagangnews.com Saya sedar tulisan ini mungkin mengundang kemarahan. Ada yang mungkin menganggap saya sedang mempertahankan TNB.
Tidak.
Bil elektrik terasa mahal. TNB pula untung berbilion ringgit. Kedua-duanya wajar dipersoalkan. Tetapi kalau mahu marah, biarlah tepat.
Pada tahun kewangan 2025, TNB merekodkan hasil RM67.7 bilion dan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sekitar RM4.77 bilion. Maka munasabah rakyat bertanya: kalau syarikat ini untung berbilion, mengapa bil kita tidak turun?
Jawapannya tidak semudah “TNB caj mahal, sebab itu untung berbilion”. Tidak setiap tambahan satu sen pada bil masuk terus ke keuntungan TNB. Bil dipengaruhi penggunaan, kos penjanaan, harga bahan api, subsidi dan cara kos sistem diagihkan.
TNB ialah nama pada bil. Tetapi TNB bukan keseluruhan sistem elektrik.
Sebelum tengok RM, tengok kWj
Apabila bil berubah daripada RM180 kepada RM260, angka yang paling cepat dilihat ialah kenaikan RM80. Tengok juga penggunaan dalam kilowatt-jam (kWj).
Adakah pendingin hawa dipasang lebih lama? Lebih ramai berada di rumah? Ada pengecas kenderaan elektrik atau peralatan lain yang semakin kerap digunakan?
Penggunaan yang lebih tinggi biasanya menaikkan bil. Pada September 2026, kerajaan turut menaikkan aras perlindungan isi rumah daripada 600 kepada 800 kWj sebulan hingga akhir tahun, antaranya ketika cuaca panas dan jerebu meningkatkan penggunaan elektrik.
Jadi, jika penggunaan naik daripada 500 kepada 730 kWj, semak dahulu apa yang berubah di rumah. Kedua-duanya masih di bawah aras perlindungan 800 kWj. Jangan pula menyalahkan kehilangan pengecualian yang sebenarnya masih ada.
Sebaliknya, kalau penggunaan hampir sama tetapi bil melonjak jauh, TNB mempunyai soalan yang perlu dijawab. Bandingkan kWj dengan kWj sebelum membandingkan RM dengan RM.
Matematik mungkin kurang memuaskan daripada kemarahan. Tetapi sekurang-kurangnya matematik boleh diperiksa.
AFA bukan mesin menaikkan bil
Sejak Julai 2025, Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) digunakan untuk menyesuaikan kos penjanaan apabila harga bahan api dan kadar pertukaran berubah.
Apabila kos lebih rendah daripada andaian asas, pengguna boleh menerima rebat. Apabila kos lebih tinggi, surcaj boleh dikenakan.
TNB menyatakan AFA bukan keuntungan tambahan kepada syarikat. Itu bukan alasan untuk berhenti bertanya.
Bezakan kos bahan api daripada keuntungan TNB, dan kedua-duanya daripada penggunaan sendiri. Kalau meter pelik, periksa meter. Kalau keuntungan naik, periksa bagaimana ia terhasil.
Keuntungan tetap perlu dipersoalkan
Sistem utiliti membenarkan syarikat memperoleh pulangan daripada modal dan aset yang digunakan untuk membekalkan elektrik.
Grid, pencawang dan talian penghantaran perlu dibina serta diselenggara.
Pelabur pula, seperti biasa, tidak menyediakan modal kerana semangat patriotik. Jadi keuntungan bukan dengan sendirinya bukti pengguna dicaj berlebihan.
Tetapi RM4.77 bilion juga bukan alasan untuk menutup buku.
Rakyat berhak bertanya tentang kecekapan operasi, perbelanjaan modal dan mutu perkhidmatan yang diterima. Kalau sistem membenarkan pulangan, sistem juga mesti menuntut disiplin. Utiliti sebesar TNB tidak sepatutnya takut kepada soalan matematik.
Arang batu tidak peduli kos sara hidup kita
Arang batu menyumbang 58.8% kepada penjanaan elektrik Semenanjung pada 2025.
Malaysia boleh menentukan dasar subsidi, tetapi tidak menentukan harga arang batu dunia. Kos gas dan perubahan pasaran tenaga turut memberi kesan.
Apabila kos bahan api meningkat, kos itu tidak hilang hanya kerana kerajaan menahannya daripada bil pengguna.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, kerajaan memperuntukkan RM2.388 bilion subsidi elektrik untuk mengekalkan perlindungan pengguna.
Itu juga kos elektrik, cuma ia tidak muncul sebagai caj dalam bil rumah. Harga pada bil boleh dikawal untuk suatu tempoh; kos sistem tetap perlu ditanggung. Persoalannya, oleh siapa?
Pusat data dan kontrak IPP
Malaysia mahukan pelaburan pusat data. Angkanya cantik dalam slaid. Tetapi pusat data juga menggunakan banyak elektrik.
Apabila pelanggan besar masuk dengan pantas, sistem mungkin memerlukan kapasiti, pencawang dan rangkaian baharu.
Ini bukan alasan untuk menyalahkan pusat data atas bil Mak Cik Kiah. Soalannya ialah sama ada pelanggan yang mewujudkan keperluan infrastruktur baharu menanggung bahagian kos yang munasabah.
Pengeluar tenaga bebas (IPP) pula menerima bayaran bukan sahaja untuk elektrik yang dijana, tetapi juga untuk kapasiti yang perlu tersedia.
Sistem memang memerlukan bekalan apabila permintaan memuncak. Namun, adakah kapasiti itu diperlukan dan kontraknya masih kompetitif?
Kita tidak perlu melihat setiap IPP sebagai penjahat. Kita juga tidak perlu menganggap setiap kontrak sebagai kitab suci.
Hantar soalan kepada pihak yang betul
Kalau meter salah atau bil tidak masuk akal, TNB perlu menjawab. Kalau operasi dan pelaburan rangkaian tidak cekap, TNB serta pengawal selia perlu menjelaskannya.
Kalau persoalannya pulangan yang munasabah bagi utiliti, Suruhanjaya Tenaga perlu menjaga kepentingan pengguna. Kalau persoalannya siapa mendapat subsidi, itu keputusan kerajaan.
Kalau penggunaan rumah sendiri naik 40%, mungkin sebahagian jawapannya memang berada di ruang tamu.
Elektrik yang mahal menekan rakyat. Elektrik yang murah melalui subsidi juga mempunyai kos. Kita berhak tahu apa yang dibayar, mengapa kita membayarnya dan siapa yang bertanggungjawab apabila kos meningkat.
Jadi apabila bil bulan depan terasa mahal, tanya dahulu: berapa kWj saya guna, kos apa yang berubah dan siapa yang mempunyai kuasa terhadap perubahan itu?
TNB paling jelas kelihatan pada bil. Tetapi bil elektrik ialah resit kepada seluruh sistem tenaga negara. Kalau mahu marah, pastikan invois kemarahan dihantar kepada alamat yang betul. – DagangNews.com
WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA merupakan seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta seorang penganalisis industri, kolumnis, dan penulis yang aktif mengulas isu-isu berkaitan kewangan, pelaburan, dan ekonomi di Malaysia.






