Bil elektrik, apa yang TNB caj sebenarnya?

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bil elektrik, apa yang TNB caj sebenarnya? Image from: Bil elektrik, apa yang TNB caj sebenarnya? johardy25/09/2026 - 09:00 MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

BIL elektrik sekarang ini sudah macam keputusan pemeriksaan kesihatan. Sebelum membukanya, tarik nafas dahulu. Selepas melihat jumlahnya, ada yang terus rasa tekanan darah naik.

 

Di media sosial, macam-macam angka dikongsi. Ada yang kata bil naik 30%, ada yang mendakwa 50%. AFA dipersoalkan, manakala caj tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan menjadikan bil kelihatan seperti invois kontraktor.

 

Saya pun pengguna elektrik. Lampu di rumah bukan ditaja TNB, penyaman udara tidak berputar dengan ihsan sesiapa dan bil tetap perlu dibayar dengan duit sendiri. Apabila jumlahnya naik, saya pun terasa seperti anda.

 

Bil elektrik bukan perbelanjaan pilihan. Ia datang ketika keluarga masih memikirkan harga makanan, ansuran rumah, perbelanjaan sekolah dan pelbagai komitmen lain.

 

Namun, kalau mahu marah pun, biarlah kita tahu apa yang dimarahkan. Sebab itu saya minta kita sama-sama meneliti struktur tarif, AFA, harga bahan api dan data penggunaan.

 

Bukan untuk memenangkan TNB atau kerajaan. Kalau TNB silap, kita nyatakan TNB silap. Kalau kenaikan berpunca daripada penggunaan dan kos bahan api, itu juga perlu disebut berdasarkan fakta.

 

Mengapa utiliti menjadi monopoli?

TNB mempunyai kedudukan monopoli semula jadi dalam rangkaian penghantaran elektrik di Semenanjung. Kita tidak boleh beralih kepada pembekal lain apabila tidak berpuas hati.

 

Keadaan itu ada sebabnya. Tidak praktikal jika beberapa syarikat membina tiang, kabel dan pencawang masing-masing melalui kawasan yang sama. Kalau lima syarikat mahu memasang lima batang tiang di hadapan rumah, hendak sidai kain pun susah.

 

Satu rangkaian membolehkan bekalan dirancang secara terselaras, kos infrastruktur dikongsi pada skala besar dan elektrik disalurkan juga ke kawasan yang kurang menguntungkan, bukan hanya ke bandar dan kawasan industri.

 

Namun, monopoli datang bersama tanggungjawab. Oleh sebab pengguna tidak mempunyai pilihan lain, TNB perlu telus, cepat menjawab aduan dan memastikan perkhidmatannya setimpal dengan bayaran rakyat.

 

TNB pula tidak bebas menaikkan tarif sesuka hati. Rafizi Ramli turut menjelaskan dalam podcast YBM64 bahawa tarif ditentukan melalui kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif atau IBR. TNB melaksanakan struktur tarif yang diluluskan dan menguruskan rangkaian bekalan.

 

Caj baharu atau sekadar baru nampak?

Sebelum 1 Julai 2025, beberapa kos pembekalan digabungkan dalam struktur tarif. Selepas penstrukturan, bil memaparkan caj tenaga, kapasiti, rangkaian, peruncitan dan AFA secara berasingan.

 

Barisannya memang baharu, tetapi kos di belakangnya bukan tiba-tiba muncul pada 1 Julai. Dahulu semuanya duduk dalam satu rumah; sekarang setiap satu mempunyai bilik dan tanda nama sendiri.

 

Caj tenaga membayar kos elektrik yang dijana dan digunakan, termasuk bahan api serta pembelian tenaga daripada penjana.

 

Caj kapasiti memastikan kapasiti penjanaan mencukupi ketika permintaan memuncak. Caj rangkaian pula membiayai talian penghantaran, pencawang, kabel dan sistem pembahagian hingga ke premis pengguna.

 

Caj peruncitan meliputi pengurusan akaun, meter, pengeluaran bil dan khidmat pelanggan. Kadarnya RM10 sebulan, tetapi pengguna dalam aras perlindungan dikecualikan. Kesemua caj ini bukan caj baharu yang tiba-tiba diwujudkan selepas penstrukturan tarif.

 

Insentif Cekap Tenaga pula merupakan pelarasan berdasarkan tahap penggunaan bagi menggalakkan penggunaan elektrik secara lebih berhemat.

 

Menurut TNB, kira-kira 70% kos pembekalan elektrik ialah kos penjanaan yang diselaraskan setiap bulan melalui AFA. Baki sekitar 30% melibatkan rangkaian dan peruncitan.

 

Mengapa AFA menjadi surcaj?

AFA ialah Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik yang menggantikan ICPT. Jika ICPT diselaraskan setiap enam bulan, AFA membuat pelarasan setiap bulan mengikut perubahan kos penjanaan semasa berbanding dengan kos asas.


 

solar

 


Kadar asas arang batu bagi RP4 ialah AS$97 satu tan, tetapi meningkat kepada AS$122.85 pada September 2026. Harga gas Tier 2 pula naik daripada kadar asas RM46 kepada RM57.87 bagi setiap juta unit terma British.

 

Ringgit mengukuh berbanding dengan kadar asas, tetapi kesannya belum cukup untuk menghapuskan tekanan akibat kenaikan harga arang batu dan gas.

 

AFA bukan sentiasa surcaj. Dari Julai 2025 hingga April 2026, RM3.1 bilion dikembalikan kepada pengguna dalam bentuk rebat.

 

Apabila krisis Asia Barat melonjakkan harga bahan api, keadaan berubah. Dari Mei hingga September 2026, surcaj kepada pengguna berjumlah RM0.8 bilion. Bagi Mei hingga Ogos pula, RM435 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik digunakan untuk menampung sebahagian kenaikan AFA.

 

Angka ini datang daripada TNB. Ia membantu kita memahami penjelasan syarikat itu, tetapi tidak bermakna pertanyaan perlu berhenti. Suruhanjaya Tenaga pula memastikan pengiraannya tepat dan boleh disemak.

 

Penggunaan meningkat, bil pun berubah

Data TNB menunjukkan peratusan pengguna yang menggunakan tidak lebih daripada 600 kWj menurun daripada kira-kira 85% pada Februari kepada 80% pada Ogos 2026.

 

Cuaca panas dan jerebu menyebabkan kipas serta penyaman udara digunakan lebih lama. Tambahan beberapa jam sehari selama sebulan boleh mengubah bil walaupun rutin harian dirasakan tidak banyak berbeza.

 

Kerajaan kemudian meningkatkan aras perlindungan daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan bagi penggunaan September hingga 31 Disember 2026.

 

Pengguna yang menggunakan sehingga 800 kWj dikecualikan daripada AFA, caj peruncitan dan cukai perkhidmatan. Lebih lapan juta pengguna, atau sehingga 90% pengguna domestik TNB, menerima manfaat.

 

Menurut contoh pengiraan TNB, bil bagi penggunaan 700 kWj berkurangan daripada RM316.77 kepada RM276.87 selepas perlindungan diperluas — penjimatan RM39.90 atau 13%.

 

Jika bil meningkat di luar kebiasaan, pengguna tetap berhak meminta semakan bacaan meter. Cuaca mungkin sebahagian daripada penjelasan, tetapi ia tidak seharusnya menjadi jawapan pukal bagi setiap aduan.

 

Untung TNB mesti memberi manfaat

Apabila TNB mengumumkan keuntungan berbilion ringgit, pengguna berhak mengetahui bagaimana wang itu digunakan.

 

Pada 2025, TNB membelanjakan RM12 bilion bagi memperkukuh keselamatan dan kebolehpercayaan bekalan, memenuhi pertumbuhan permintaan serta melaksanakan projek peralihan tenaga.

 

Syarikat itu turut mengisytiharkan dividen kira-kira RM3.1 bilion, dengan 60.7% daripadanya diagihkan kepada institusi seperti KWSP, Khazanah, PNB dan KWAP. Sumbangan CSR dan zakatnya pula berjumlah RM265 juta.

 

Semua angka itu penting, tetapi bukan kad bebas keluar daripada kritikan. Pelaburan RM12 bilion mesti diterjemahkan kepada bekalan yang lebih stabil, gangguan yang berkurangan dan perkhidmatan yang lebih baik. Dividen serta CSR pula bukan alasan untuk menutup pertanyaan pengguna.

 

Sebagai monopoli semula jadi, TNB memikul akauntabiliti yang lebih tinggi. Keterbukaan bukan sekadar kerja perhubungan awam, tetapi sebahagian daripada amanah mengendalikan utiliti nasional.

 

Bil yang tepat, penjelasan yang mudah

Akhirnya, kenaikan bil kebelakangan ini tidak berpunca daripada satu perkara. Penggunaan bertambah ketika cuaca panas dan berjerebu, manakala AFA berubah daripada rebat kepada surcaj apabila krisis meningkatkan kos arang batu dan gas.

 

Tujuan MERREPAK berkongsi angka ini bukan untuk menafikan beban rakyat atau meminta semua penjelasan TNB diterima tanpa soal. Saya sendiri membayar bil yang sama dan turut mahu mengetahui mengapa jumlahnya berubah.

 

Pengguna berhak bertanya. TNB bertanggungjawab menerangkan.

 

Itulah yang kita perlukan — bil yang tepat, penerangan yang mudah dan perkhidmatan yang setimpal. Kalau tiga perkara itu dapat diberikan, mungkin membuka bil elektrik tidak lagi terasa seperti menunggu keputusan pemeriksaan kesihatan. — DagangNews.com

 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People’s Mirror sepanjang lebih 34 tahun kerjayanya sebagai wartawan. ‘Merrepak’ ialah kolum pojok beliau yang mula diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009, menyentuh apa sahaja isu yang mencuit jiwa dan minda sepanjang minggu, atau yang membuatkannya mendengar lagu Electric Youth oleh Debbie Gibson berulang-ulang kali.
Merrepak Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved