
DALAM keadaan kos hidup yang makin mencabar, ramai mula ubah cara mengurus kehidupan harian, lebih berjimat, berhati-hati dan mula fikir soal persediaan. Hal ini bukan sahaja berlaku pada orang biasa, bahkan selebriti negara.
Perkara sama turut dilakukan oleh pelakon dan pengacara, Scha Al-Yahya, yang kini melihat keperluan itu dari sudut berbeza sebagai seorang ibu.
Ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Usanita di Grand Hyatt Kuala Lumpur baru- baru ini, pemilik nama sebenar, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, mengakui dia kini lebih peka terhadap isu semasa, sekali gus mengambil langkah awal dengan menyediakan simpanan barangan keperluan asas di rumah.

Menurut si tinggi lampai itu lagi, tindakan tersebut bukanlah didorong rasa panik, sebaliknya sebagai usaha untuk lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
“Saya memang ikuti perkembangan semasa dan faham reaksi orang ramai. Tapi bagi saya, ini bukan untuk menakutkan sesiapa. Lebih kepada kesedaran supaya kita bersedia,” kata wanita anggun yang sudah memasuki usia 43 tahun itu lagi.
Suri hati kesayangan personaliti terkenal, Awal Ashaari itu turut memaklumkan, selepas mendirikan rumah tangga, cara dirinya melihat soal perbelanjaan dan keperluan harian berubah sepenuhnya.
“Kalau seorang diri, mungkin kita boleh kawal banyak perkara. Tapi bila ada anak, kita tak tahu apa akan jadi pada masa depan. Jadi lebih baik kita sediakan apa yang perlu,” ujarnya lagi.
Berkongsi lanjut, Scha berkata dia sudah mempunyai senarai ‘backup plan’ sendiri, termasuk menyimpan stok makanan asas seperti sardin, beras, minyak masak dan keperluan dapur lain sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam masa sama, pemenang Dewi Remaja 2005/2006 itu turut menekankan soal didikan kepada anak-anaknya, khususnya dalam aspek berjimat-cermat dan penggunaan sumber di rumah.
Menurut anak kelahiran Sungai Petani, Kedah tu, dia bermula dengan perkara paling dekat dalam kehidupan harian seperti penggunaan elektrik dan air.

Mendidik anak-anak
Anak sulungnya, Lara Alana, yang kini memasuki usia 12 tahun sudah mula memahami perkara tersebut, malah kadangkala memberi reaksi yang tidak dijangka.
“Baru-baru ini dia masuk bilik dan tanya kenapa saya pasang penyaman udara. Dia siap fikir mungkin saya ada kerja atau sesi fotografi di rumah,” kongsinya.
Jelasnya lagi, dalam rumah mereka, penggunaan penyaman udara bukan sesuatu yang dibiasakan setiap masa. Ia hanya digunakan pada keadaan tertentu seperti ketika menerima tetamu atau apabila benar-benar perlu.
Dari situ, dia cuba mendidik anak-anak supaya tidak menggunakan sesuatu kemudahan secara berlebihan. Selain itu, mereka juga diajar untuk tidak terlalu lama menonton televisyen serta lebih peka terhadap penggunaan elektrik dan air.
“Buat masa ini saya fokus pada asas dahulu. Perkara lain seperti simpanan makanan dan perancangan lebih besar, saya akan terangkan kemudian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Papadom itu bakal kembali ke layar perak pada Jun ini menerusi dua filem, iaitu Kata Hati The Movie dan Lima Bomoh yang dijangka ditayangkan serentak.
Menurut Scha, kedua-dua naskhah itu sebenarnya sudah lama menjalani penggambaran—satu tahun lalu manakala satu lagi sudah siap sejak dua tahun lepas.
Selain filem, dia juga bakal muncul dalam sebuah projek drama untuk platform penstriman (OTT) sekitar Ogos nanti. Walaupun menerima banyak tawaran, Scha memilih untuk tidak terlalu berkongsi di media sosial dan lebih selektif dalam menentukan hala tuju kerjayanya.


