
BAGI warga Sekolah Al-Amin Darul Musthofa, bulan penuh keberkatan ini bukan sekadar ruang memperkukuh ibadah, tetapi juga peluang menanam nilai empati dalam jiwa generasi muda melalui program kebajikan yang memberi makna kepada masyarakat.
Melalui penganjuran program Infaq Kasih Ramadan 2026, sekolah berkenaan sekali lagi menghimpunkan pelajar, guru, ibu bapa dan komuniti setempat dalam usaha membantu golongan memerlukan.
Program yang berlangsung di Masjid Denai Alam itu menjadi kemuncak kepada beberapa minggu persiapan yang melibatkan penyertaan pelajar dari kampus Batu Caves dan Elmina.
Inisiatif tahunan itu bukan sekadar aktiviti kebajikan biasa. Sebaliknya, ia mencerminkan pendekatan pendidikan sekolah yang menekankan pembangunan insan secara seimbang, bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga kaya dengan nilai ihsan, empati dan tanggungjawab sosial.

Program Infaq Kasih Ramadan mula diperkenalkan pada tahun 2022 dengan matlamat membudayakan amalan memberi dalam kalangan pelajar sejak usia muda.
Pada masa turut menjadikan Ramadan sebagai ruang pembelajaran yang menghubungkan nilai di bilik darjah dengan realiti kehidupan masyarakat.
Pada tahun ini, seramai 483 pelajar termasuk murid sekolah rendah dan prasekolah terlibat secara langsung dalam penyediaan pek bantuan makanan.
Penyertaan aktif mereka bukan sahaja memeriahkan suasana program, malah memberi pengalaman bermakna tentang erti berkongsi rezeki.
Dalam sesi pembungkusan, para pelajar dilihat tekun menyusun pelbagai barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, susu, biskut dan sardin bersama beberapa keperluan dapur lain.
Bagi menambah sentuhan peribadi, sebahagian daripada mereka turut menulis kad doa serta pesanan ringkas untuk disertakan bersama sumbangan.
Situasi tersebut memperlihatkan bagaimana nilai empati dapat dipupuk secara semula jadi apabila kanak-kanak diberi peluang terlibat secara langsung dalam aktiviti kebajikan.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran penyampai radio, pelakon dan pengacara televisyen, Sharifah Shahira yang hadir sebagai advokat sosial bagi menyokong inisiatif tersebut.
Dalam perkongsian beliau, Sharifah Shahira memuji usaha pihak sekolah dalam mendidik pelajar tentang kepentingan budaya infaq sejak usia muda.
Menurutnya, pendedahan awal seperti ini mampu membentuk generasi yang memahami bahawa amalan memberi bukan sekadar perbuatan baik, tetapi juga tanggungjawab sosial yang perlu diamalkan sepanjang hayat.

Sementara itu, pengasas bersama sekolah, Datuk Ismail Bin Nordin, menjelaskan bahawa program berkenaan selari dengan falsafah pendidikan sekolah yang menekankan pembentukan karakter.
Menurut beliau, pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu membentuk akhlak serta nilai kemanusiaan dalam diri pelajar.
Beliau menegaskan bahawa komuniti yang kuat hanya dapat dibina apabila amalan memberi menjadi tanggungjawab bersama.
“Sekolah bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang, tetapi individu yang mempunyai jiwa ihsan dan kesediaan untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau lagi, usaha memupuk sifat pemurah sejak kecil amat penting bagi melahirkan generasi masa depan yang bukan sahaja bijak, tetapi juga memiliki empati terhadap orang lain.
“Jika nilai memberi tidak dipupuk sejak awal, ia sukar menjadi sebahagian daripada naluri apabila dewasa. Anak-anak yang belajar memberi hari ini bakal membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab pada masa hadapan,” ujarnya.

Melalui program tahun ini, sebanyak 344 keluarga asnaf menerima bantuan berupa pek keperluan asas. Penerima dikenal pasti hasil kerjasama dengan beberapa masjid tempatan serta rangkaian komuniti di sekitar Denai Alam, Elmina, Bukit Subang, Sungai Buloh, Seri Gombak, Batu Caves, Taman Industri Bolton dan Kampung Nakhoda.
Selain keluarga asnaf, bantuan turut disalurkan kepada beberapa rumah anak yatim serta pusat tahfiz terpilih.

