Program Infak Kasih Ramadan didik pelajar semangat berkongsi

LocalFamily & Parenting
12 Mar 2026 • 8:32 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 12 MAC: Sekolah Al-Amin Darul Musthofa menganjurkan Program Infak Kasih Ramadan 2.0 di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah hari ini bagi memupuk nilai keprihatinan dan semangat berkongsi dalam kalangan pelajar.

Program itu memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dalam penyediaan pek sumbangan infak yang akan diagihkan kepada golongan asnaf di sekitar komuniti setempat.

Pengetuanya Aisyah Mardhiah Darul Azahar berkata program itu diadakan bagi memberi kefahaman lebih mendalam kepada pelajar mengenai konsep sebenar infak.

image is not available
Pengetua Sekolah Al-Amin Darul Musthofa Aisyah Mardhiah Darul Azahar. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, 483 pelajar berusia antara empat hingga 12 tahun terlibat dalam pelaksanaan program berkenaan.

“Program ini dilaksanakan melalui beberapa peringkat bermula dengan memberi kesedaran mengenai kepentingan infak, diikuti aktiviti membungkus barangan keperluan dalam kotak sumbangan.

“Pelajar turut menulis doa sama ada secara lisan atau bertulis selain mengekspresikan kefahaman mereka mengenai maksud infak melalui aktiviti mewarna dan penulisan,” katanya ditemui pada program tersebut.

Beliau berkata sumbangan yang disediakan itu diagihkan kepada 344 keluarga asnaf yang tinggal di sekitar kawasan komuniti.

Majlis itu turut dihadiri pengasas bersama sekolah itu Ismail Nordin serta selebriti Sharifah Shahirah.

Sementara itu, pelajar Muhammad Emir Ismail Sahrani, 12, meluahkan rasa gembira kerana berpeluang menyertai program berkenaan.

image is not available
Muhammad Emir Ismail Sahrani, 12. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Saya gembira sebab dapat membantu orang yang memerlukan,” katanya.

Pelajar lain, Wan Muhammad Mikael Wan Ashrul Afiq, 11, berkata program tersebut membantunya memahami maksud infak sebagai amalan berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

image is not available
Wan Muhammad Mikael Wan Ashrul Afiq, 11. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR