
Kalau selama ini anda menyangka memakai belang dari kepala hingga kaki akan membuatkan diri kelihatan seperti buku latihan sekolah, saya ada berita baik. Anda cuma belum bertemu belang yang betul.
Apabila garis halus dipadankan dengan renda lembut, hasilnya bukan sekadar manis. Ia kemas, yakin dan ada gaya, seolah-olah anda sudah bersiap cantik tanpa perlu mengaku berapa kali menukar tudung di hadapan cermin.
Itulah tarikan April Stripe Set Vol II daripada Ameera Zaini. Kemeja longgar berjalur digandingkan dengan skirt potongan A dalam warna merah jambu, biru, perang dan kuning.
Pada harga RM289, set ini menggunakan campuran linen dan kapas yang selesa serta sesuai dengan cuaca Malaysia.
Namun, bahagian yang benar-benar mencuri perhatian ialah renda putih di hujung kemeja. Satu perkara yang saya selalu percaya, pakaian tidak perlu ketat untuk membuatkan seseorang kelihatan menarik. Potongan kemeja yang longgar, bahu jatuh dan skirt kembang berbentuk A mempunyai kuasa tersendiri.
Ia bergerak cantik ketika anda berjalan dan memberi ruang kepada pelbagai bentuk tubuh. Lebih penting, anda boleh duduk, makan dan bernafas dengan tenang. Cantik itu penting, tetapi dapat menikmati nasi lemak tanpa perlu menahan perut juga satu bentuk kebahagiaan.

Untuk menggayakannya, biarkan set ini menjadi watak utama. Pilih tudung polos dalam rona lembut seperti kelabu kabut, krim, merah jambu pucat atau perang susu. Elakkan tudung bercorak besar kerana belang dan renda sudah cukup meriah.
Tidak semua orang dalam satu penampilan perlu bercakap serentak. Jika tidak bertudung, sanggul rendah atau rambut yang disisir kemas akan menyerlahkan kolar kemeja dengan lebih baik.
Bagi kasut, rekaan hujung tirus atau kasut bertumit rendah akan memberikan kesan kaki lebih panjang tanpa menyeksa jari. Set merah jambu tampak segar dengan kasut putih dan beg merah hati.
Warna biru pula cantik ditemani aksesori krim atau kelabu. Untuk warna perang, cuba beg berona kopi gelap atau hijau zaitun. Set kuning sudah cukup ceria, jadi biarkan aksesori kekal sederhana.
Tidak perlu juga terlalu bersemangat menambah barang kemas. Sepasang subang kecil, sebentuk cincin atau jam tangan sudah memadai. Menariknya ada poket pada dada, poket tersembunyi di kedua-dua sisi skirt dan pinggang bergetah penuh.

Ya, ada poket sebenar. Set ini sesuai untuk makan tengah hari, urusan pejabat yang santai, majlis kecil atau keluar minum bersama sahabat. Tukar sahaja beg dan kasut, seluruh perwatakannya ikut berubah.
Itulah pakaian bijak, mudah dipakai tetapi tidak mudah dilupakan. Jadi, apabila anda berdiri di hadapan almari lalu terkeluar ayat, “Tak ada baju,” walaupun penyangkut sudah hampir menyerah kalah, jangan terus menyalahkan tubuh sendiri.
Tubuh anda bukan masalah yang perlu diselesaikan. Pilih pakaian yang memberi ruang untuk anda bergerak, ketawa dan hadir sebagai diri sendiri. Pakailah belang itu dari atas sampai bawah, biarkan renda menjadi tanda seru, kemudian melangkahlah keluar dengan keyakinan.
Anda tidak perlu menunggu kurus, menunggu berani atau menunggu orang lain memuji. Hari yang baik boleh bermula dengan gaya yang berkeyakinan dan seorang wanita yang akhirnya sedar bahawa dirinya memang layak dihargai.
The post Bila belang bertemu renda appeared first on Utusan Malaysia.

