Bila curiga, cemburu buta bunuh cinta

2 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bila curiga, cemburu buta bunuh cinta

ADA sesetengah perkahwinan tidak musnah kerana orang ketiga, tetapi kerana ‘bayang-bayang’ yang tidak pernah wujud.

Itu yang berlaku kepada Lina (bukan nama sebenar) apabila rasa curiga terhadap suaminya perlahan-lahan menguasai setiap sudut kehidupan mereka hingga kasih sayang yang dibina bertahun lamanya akhirnya menjadi abu.

Menurut anak jati Seremban, Negeri Sembilan itu, ketika awal perkahwinan, Lina tidak pernah mempersoalkan ke mana suaminya pergi atau dengan siapa dia berkawan.

Suaminya juga dikenali sebagai lelaki yang banyak menghabiskan masa untuk keluarga dan bukan suka berfoya-foya.

Namun selepas beberapa tahun, perubahan kecil pada rutin kerja suaminya itu mula mencetuskan rasa tidak sedap hati dalam dirinya.

Telefon yang dahulu diletakkan di atas meja, kini sentiasa dibawa suaminya ke mana-mana, termasuk ketika masuk ke bilik mandi.

“Pada saya waktu itu, semua perubahan itu ada sebabnya. Saya cuma belum tahu apa sebab sebenarnya dan apa yang terjadi kepada suami,” katanya kepada K-Wanita.

Lina mula bertanya lebih banyak, memeriksa telefon dan mencari jawapan daripada perkara-perkara kecil yang sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan kecurangan.

Setiap mesej daripada rakan wanita di tempat kerja suaminya dianggap mencurigakan, manakala kelewatan pulang walaupun beberapa minit menjadi alasan untuk pertengkaran panjang.

“Dia selalu cakap saya tidak pernah percaya dia.

“Sebagai isteri saya cuma berfikir, kalau dia sayangkan saya, kenapa dia susah sangat hendak buktikan dia tidak buat apa-apa?” soal Lina.

Pertengkaran mereka akhirnya menjadi rutin. Perkara kecil tentang makan malam, telefon dan waktu pulang boleh bertukar menjadi perang mulut.

Paling menyakitkan kata Lina, mereka masih tinggal serumah tetapi sudah tidak lagi hidup seperti pasangan suami isteri.

Suaminya semakin banyak mendiamkan diri, manakala Lina menganggap sikap itu sebagai bukti terbesar bahawa suaminya memang menyembunyikan sesuatu.

Dalam fasa tersebut, suaminya pernah meminta mereka berdua mendapatkan bantuan kaunseling daripada pakar.

Pun begitu akui Lina, dia menolak kerana beranggapan masalah itu bukan berpunca daripadanya.

Dia masih percaya satu-satunya perkara yang perlu dilakukan suaminya itu adalah dengan membuktikan dirinya tidak curang.

Klimaks cerita, selepas pertengkaran yang lebih besar daripada biasa, suaminya membuka mulut dan mengakui dia sudah tidak mampu meneruskan kehidupan dalam keadaan sentiasa dicurigai dan mahukan perpisahan.

“Suami kata, dia boleh terima kalau isterinya marah atau bebelkannya.

“Cuma satu dia tidak boleh hidup kalau setiap perkara dan saban hari perlu buktikan dia tidak berlaku curang,” katanya.

Ego memuncak, Lina ‘menyambut’ baik keputusan suaminya untuk berpisah tanpa berfikir panjang.

Selepas berbulan perceraian, barulah Lina mengetahui bahawa sebahagian besar perkara yang selama ini dianggap sebagai petunjuk kecurangan sebenarnya hanyalah kebetulan dan salah tafsirnya sendiri.

Beberapa rakan wanita yang sering menghantar mesej kepada suami rupanya cuma teman sepasukan dalam satu projek memandangkan mereka bekerja sebagai arkitek lapangan.

Ketika itu, Lina mula sedar bahawa sepanjang perkahwinan, dia terlalu sibuk mencari bukti untuk mengukuhkan sangkaannya.

“Saya bukan tidak sayangkan dia. Saya terlalu takut kehilangannya sampai jadi punca yang menyebabkan dia pergi,” kesalnya.

Bertahun berlalu, Lina masih mengakui satu perkara yang paling sukar diterimanya adalah hakikat bahawa tidak semua perkahwinan berakhir kerana cinta sudah tiada.

Kini, mereka meneruskan kehidupan masing-masing dan hanya berhubung apabila berkaitan anak-anak.

The post Bila curiga, cemburu buta bunuh cinta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved