
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin mempersoalkan kelewatan kerajaan mengumumkan definisi kumpulan T15 yang bakal terkesan dengan pelaksanaan subsidi bersasar.
Beliau berkata, sehingga kini kerajaan masih belum menjelaskan siapakah golongan T15 yang dimaksudkan, sedangkan dasar itu dijadualkan bermula pertengahan tahun ini.
“Semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024, Menteri Kewangan umumkan subsidi bersasar akan dilaksanakan pertengahan 2025.
“Dan diberi jaminan bahawa 85 peratus rakyat tidak akan terkesan, cuma 15 peratus yang akan terkesan.
“Siapakah yang dikatakan T15? Siapakah yang dimasukkan dalam kumpulan itu?,” katanya dalam sesi Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Sebelum ini, pengelasan kategori pendapatan T15 yang akan dikecualikan daripada beberapa subsidi kerajaan termasuk petrol dijangka dimuktamadkan suku pertama tahun depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, tempoh masa itu diberikan kerana masih ada rakyat yang belum mendaftar dalam sistem data kerajaan bagi menentukan sama ada mereka layak atau sebaliknya memperoleh subsidi kerajaan.
Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, setiap kali sidang Parlimen, soalan sama diajukan mengenai siapakah yang termasuk dalam kelompok T15, namun jawapan konkrit masih belum diberikan.
“Mula-mula kata akan beri penjelasan. Selepas itu, kata akan beri penjelasan lagi, akhir sekali saya ingat Menteri Ekonomi yang cakap akan beri penjelasan pada suku pertama 2025.
“Ini kita dah masuk bulan kedua suku kedua tahun 2025 dan Menteri Ekonomi sedang bercuti, maknanya nak tunggu sebulan lagi baru nak faham apakah itu T15.
“Nak dilaksanakan pada pertengahan tahun 2025. Dalam keadaan tak ada tarif pun perkara ini akan memberi kesan kepada rakyat, kepada industri. Apatah lagi dalam keadaan tarif timbal balik ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan perlu memberikan perhatian serius terhadap perkara tersebut bagi mengurangkan ketidaktentuan dalam kalangan rakyat.
Katanya, pendekatan kerajaan semasa menguruskan krisis Covid-19 dahulu seharusnya dijadikan contoh kepada kerajaan ketika ini.
“Jadi di mana kerajaan? Di mana Menteri? Menteri nak bercuti tak ada masalah, tetapi saya nak cerita bagaimana kami sewaktu menguruskan Covid-19.
“Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ada sekali, bermesyuarat setiap hari, melihat data ekonomi, melihat data kesihatan.
“Minta dengan Perdana Menteri cuti sehari sahaja pada Hari Raya, itulah komitmen kerajaan dalam keadaan krisis, sebab itu, saya mohon pada kerajaan ambil serius perkara ini...kurangkan ketidaktentuan,” tegas beliau.
Membangkitkan berkenaan soal Pangkalan Data Utama (PADU), beliau menambah, ia telah dilancarkan pada 2 Januari 2024.
Menurutnya, rakyat juga telah diminta untuk mengemas kini maklumat sehingga 31 Mac 2024.
“Minta rakyat isi sehingga 31 Mac 2024, 13 bulan telah berlalu. Di mana? Definisi T15 pun masih belum ada,” kata Mohd Radzi.

