“Bila Pelajar Sanggup Hulur Tenaga Bersihkan Rumah Ibadat Penganut Lain, Bukan Ke Itu Pupuk Sikap Perpaduan?” – Presiden Mahima

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 10:32 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Bila Pelajar Sanggup Hulur Tenaga Bersihkan Rumah Ibadat Penganut Lain, Bukan Ke Itu Pupuk Sikap Perpaduan?” – Presiden Mahima

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini, kecoh sebuah video di media sosial memaparkan sekumpulan individu beragama Islam termasuk golongan pelajar sedang mencuci sebuah kuil di Georgetown, Pulau Pinang.

Tindakan itu kemudiannya telah mencetuskan perdebatan yang mana rata-rata orang ramai berpendapat bahawa orang Muslim tidak sepatutnya membersihkan tempat atau alatan ritual agama lain.

Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman kemudiannya menasihatkan umat Islam agar mengelak daripada terlibat dengan aktiviti membersihkan rumah ibadat agama lain lebih-lebih lagi jika melibatkan tempat atau peralatan khusus yang digunakan untuk ritual keagamaan yang bercanggah dengan akidah Islam.

Jelasnya, Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berbuat baik atau menjalinkan hubungan harmoni dengan mereka yang berlainan agama namun, setiap tindakan atau perbuatan yang dilakukan perlulah berpandukan kepada batas syariat.

Tak Wajar Jadikan Isu Pelajar Bersihkan Kuil Sebagai Polemik Agama – Presiden Mahima

Terbaharu, Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) Datuk N Sivakumar berkata, tindakan pelajar beragama Islam yang menyertai aktiviti sukarelawan membersihkan kuil tidak wajar dijadikan polemik agama.

Menurutnya, ia perlu dilihat sebagai satu langkah atau ruang bagi memupuk toleransi dan semangat perpaduan di kalangan kaum di negara ini.

Sivakumar dalam masa sama turut menggesa orang ramai supaya berhenti membangkitkan isu terbabit yang mampu mencetuskan salah faham antara kaum dan agama.

‘Bukan Ke Tindakan Pelajar Sukarela Bersihkan Rumah Ibadat Agama Lain Pupuk Sikap Toleransi & Perpaduan?’ – Sivakumar

Jelas Sivakumar, kesediaan pelajar turun padang bagi membantu membersihkan kuil merupakan satu bentuk kerjasama kemasyarakatan yang wajar dilihat secara positif selagi mana pelaksanaan aktiviti itu menghormati sensitiviti agama.

Katanya, sekiranya aktiviti itu dilaksanakan secara sukarela, mendapat kebenaran dari pihak terlibat dan menghormati sensitiviti agama, faktor yang perlu dinilai adalah tujuan, cara pelaksanaan serta nilai pendidikan yang dibawa kepada masyarakat.

“Cuba kita bayangkan, apabila sekumpulan pelajar sanggup menghulurkan tenaga untuk membersihkan rumah ibadat penganut lain, bukankah tindakan tersebut boleh menjadi ruang untuk memupuk sikap toleransi dan perpaduan antara kaum?

“Dalam kita hidup bertamadun dan bermasyarakat, nilai kerjasama serta sikap saling menghormati perlu diraikan dan disambut baik,” katanya, lapor Malaysiagazette.

@hafizramlan_jsn Nak wat kebajikan rujuk la ulamak….kesian generasi Melayu sekarang…..#xybca #viral #fyp #jakim #jahil ♬ bunyi asal – мαтι ιтυ ραѕтι

Tambah Sivakumar, aktiviti membersihkan kuil itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana generasi anak muda perlu didedahkan dan memahami kepelbagaian agama dan budaya serta kepercayaan di Malaysia.

“Saya percaya bahawa masyarakat yang bertamadun bukanlah masyarakat yang memisahkan manusia berdasarkan agama dalam setiap urusan kemasyarakatan, tetapi masyarakat yang tahu menjaga batas kepercayaan masing-masing sambil bekerjasama demi kebaikan bersama,” tegasnya.

‘Perlu Bezakan Antara Hormat Rumah Ibadat Dengan Amalkan Kepercayaan Agama Lain’ – Sivakumar

Dalam pada itu, Sivakumar turut mempersoal mengapa pembersihan rumah ibadat dijadikan perbalahan sedangkan kuil juga pernah digunakan bagi membantu masyarakat ketika situasi kecemasan.

Beliau berkongsi peranan Kuil Sri Maha Kaliamman di Putra Heights yang sebelum ini telah menempatkan kira-kira 200 mangsa letupan saluran paip gas sebagai tempat perlindungan sementara.

“Kita perlu membezakan antara menghormati rumah ibadat agama lain dengan mengamalkan kepercayaan agama tersebut. Kedua-duanya bukan perkara yang sama,” jelasnya.

Baca Artikel Berkaitan: Polis Siasat Dakwaan Kerja Korek Tanah Sebabkan Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights

Baca Artikel Berkaitan: Kes Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights: CIDB Mohon Maaf, Tarik Balik Kenyataan Selepas Dedah Siasatan Awal

‘Kalau Jemput Sivakumar Sertai Upacara Korban & Tolong Bersihkan, Itu Jadi Ruang Untuk Pupuk Perpaduan Tak?’ – Firdaus Wong

Pandangan Sivakumar ini telah mendapat perhatian pendakwah bebas, Firdaus Wong di laman Threads. Jelas beliau, Mufti Pulau Pinang telah pun memberi ulasan mengenai isu ini selain menyifatkan pandangan Sivakumar adalah tidak logik.

“Mufti Pulau Pinang dan bersuara, tak payah menyibuk hal umat Islam. Logik dia, ‘pelajar Islam bersihkan boleh menjadi ruang memupuk toleransi dan perpaduan masyarakat’.

“Kalau guna logik Sivakumar, kalau umat Islam jemput dia datang upacara korban tahun depan, tolong pegang lembu yang nak disembelih kemudian bantu bersihkan lembu boleh menjadi ruang memupuk toleransi dan perpaduan masyarakat ke tidak?” soalnya.

View on Threads

Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Orang Islam Terlibat Gotong-Royong Cuci Rumah Ibadat Agama Lain, Ini Respon Mufti Pulau Pinang

Baca Artikel Berkaitan: “Perlu Hati-Hati Jatuh Hukum” – Mufti Pulau Pinang Ulas Isu Wanita Muslim Jadi Dulang Girls Di Majlis Perkahwinan Bukan Islam

Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukumnya Muslim Bergambar Dengan Patung Agama Lain? Ini Penjelasan UAI [Video]

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved