
ANGKASAWAN negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha baru-baru ini berkongsi didikan yang diberikan kepada anak-anak dengan meletakkan harapan tinggi sejak kecil.
Beliau menerusi perkongsian di Instagram memuat naik kejayaan anak sulungnya, Sophea Isabella, 16, merangkul pingat emas dan puteri kedua beliau, Sophea Natasha, 13, memenangi pingat perak pada pertandingan Global English Language Olympiad Of South East Asia.

Aktif menyertai pertandingan di pelbagai lapangan, Dr Sheikh Muszaphar mendidik kedua puterinya agar tidak mudah berpuas hati dan selesa dengan pencapaian agar berdaya saing.
"Sejak kecil, anak-anak diasuh agar tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian biasa dan sentiasa berusaha keras untuk mencapai potensi sebenar mereka.
"Nilai ini bukan sahaja membentuk kejayaan dalam bidang akademik atau sukan, tetapi juga membina kekuatan mental, ketahanan diri, dan keyakinan untuk menghadapi cabaran hidup," kongsinya.
Jelas bapa kepada tujuh cahaya mata itu, asuhan yang diterapkan dari awal itu membentuk diri Tasha dan Bella pada hari ini.
"Bella dan Tasha kini sudah remaja, faham apa yang harapan yang diletakkan pada mereka.
"Apabila keputusan tidak cemerlang, mereka tahu mereka perlu berusaha lebih keras.

"Bukan untuk ibu bapa atau orang lain, tetapi untuk diri mereka sendiri. Mereka tahu kemampuan membuat terbaik meraih pencapaian lebih baik.
"Sebagai seorang ayah, saya nampak sifat ini dalam diri mereka sekarang dan saya bersyukur. Saya yakin, sifat ini akan membawa mereka jauh dalam kehidupan. Insya-ALLAH, amiin.
"Kajian juga menunjukkan bahawa ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi terhadap anak-anak selalunya membesarkan anak yang lebih berjaya, berbanding ibu bapa yang hanya membiarkan sahaja," kongsinya
Sekadar info, Dr Sheikh Muszaphar berkahwin dengan Datin Dr Halina Mohd Yunos pada 10 Oktober 2010.
Pekahwinan mereka diserikan dengan kehadiran tujuh cahaya mata termasuk iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha, dua pasang kembar iaitu Sheikh Adam,Sheikh Noah, Sheikh Eusoff dan Sophea Emelia serta putera bongsu Syed Muhammad.
Kini, Bella sedang melanjutkan pengajian di Kolej Permata Pintar Negara (KPPN) manakala Tasha pula di ke sekolah berasrama penuh, Kolej Tunku Kurshiah (TKC).


