
DETIK usia yang kian menginjak ke angka 66 tahun ternyata membawa makna yang cukup mendalam buat pelakon veteran berkaliber, Mahmud Ali Bashah.
Bagi empunya diri, fasa itu bukan sekadar tentang sisa-sisa usia, tetapi merupakan ruang waktu yang paling berharga untuk dia bermuhasabah dan menilai kembali setiap hela nafas yang dipinjamkan Sang Pencipta.
Bicara jujur dirinya, setiap kali mengenangkan perjalanan hidup, hati kecil aktor itu tidak lari daripada memikirkan tentang sebuah pengakhiran yang pasti iaitu kematian.
"Bila umur makin meningkat, saya selalu fikirkan tentang kematian. Dulu masa muda, kita rasa hidup masih panjang dan terlalu sibuk dengan urusan dunia.
"Tapi bila usia sebegini, kita mula sedar apa yang sebenarnya lebih penting dalam hidup," katanya.
Kesedaran itu semakin menebal dalam sanubari Mahmud, apatah lagi selepas melihat satu demi satu rakan seperjuangan dalam industri seni pergi menghadap Ilahi mendahuluinya.
Dia menyifatkan setiap berita duka daripada teman artis sebagai 'loceng' peringatan buat dirinya agar terus memperbaiki diri sementara peluang masih ada.
Proses melatih kesabaran
Pengalaman menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci baru-baru ini juga meninggalkan kesan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Melihat lautan jemaah yang tidak putus-putus mengagungkan kebesaran Tuhan di depan Kaabah membuatkan Mahmud merasa kerdil dan terlalu banyak kekurangan.
"Bila tengok orang ramai berdoa dan beribadah, timbul satu kesedaran yang luar biasa. Kita rasa terlalu banyak perkara yang kita lupa sebelum ini.
"Sepatutnya hidup ini lebih ditumpukan untuk bekalan di akhirat," kongsinya lagi.
Pada masa sama, dia mnganggap peluang beribadah di sana sebagai titik tolak untuk menjadi hamba yang lebih baik.

Menariknya, Mahmud turut berkongsi cerita di sebalik tabir perjalanannya ke Makkah yang penuh dengan pengajaran.
Walaupun memilih pakej muassasah, dia langsung tidak melihat itu sebagai satu kekurangan, malah menganggapnya sebagai proses melatih kesabaran.
Baginya, kunci utama ketika beribadah adalah menjaga hati dan menjaga hubungan sesama manusia.
Malah, dia turut berasa bertuah kerana dikurniakan rakan sebilik yang sangat harmoni walaupun masing-masing datang dari latar belakang dan negeri yang berbeza seperti Kelantan, Negeri Sembilan serta Sarawak.
"Alhamdulillah, roomate semua okey. Dengan sesiapa pun kita kena pandai berinteraksi sebab tujuan asal kita datang adalah untuk beribadah.
"Walaupun baru kenal, kita anggap macam kawan sendiri dan saling menjaga. Apa pun sistemnya, yang penting kita kena banyak bersyukur dan kurangkan rungutan.
"Kalau betul-betul datang kerana ibadah, kita kena belajar terima keadaan dengan hati terbuka," jelasnya yang mahu setiap jemaah fokus kepada niat asal tanpa terlalu memikirkan soal kemudahan material.
Rayuan tiga kali
Namun, siapa sangka di sebalik senyuman syukur itu, Mahmud sebenarnya telah melalui proses rayuan sebanyak tiga kali sebelum impiannya untuk menunaikan haji menjadi kenyataan.
Dia mengakui kesilapan lampau yang agak leka dalam urusan pendaftaran haji sehingga gilirannya menjadi sangat lambat.

"Dulu saya ambil mudah soal daftar haji. Saya ingat bila daftar sudah cukup, rupanya perlu simpanan yang mencukupi dalam akaun. Sebab itu giliran saya lambat.
"Alhamdulillah, kali ketiga buat rayuan baru sangkut. Saya sangat bersyukur sebab masih diberi kesihatan untuk mengerjakan haji," ceritanya mengenangkan liku-liku perjalanan suci tersebut.
Kini, selepas lebih 37 tahun menabur bakti dalam dunia lakonan yang penuh glamor, Mahmud memilih jalan yang lebih tenang dengan pulang menetap di bumi Kenyalang, Sarawak.
Keputusan untuk memperlahankan kerjaya seni bukan bermakna dia sudah melupakan minatnya, tetapi lebih kepada mencari kualiti hidup yang lebih bermakna.
Baginya, ketenangan jiwa adalah harta yang paling mahal buat masa sekarang.
"Sekarang saya rasa sudah tiba masa untuk diri sendiri pula. Saya mahu hidup lebih tenang dan fokus kepada perkara yang lebih baik untuk diri.
"Saya masih berlakon kalau ada watak yang baik dan beri contoh positif, terutama di Sarawak. Tapi kalau ditawarkan watak negatif, memang saya akan tolak dengan cara baik," katanya lagi.



