Apabila bercakap mengenai kerjasama teknologi, tidak banyak syarikat yang mempunyai dinamik sama seperti Intel dan Microsoft. Untuk sekian lamanya, apabila bercakap tentang gabungan cip pemprosesan dan sistem operasi. nama “Wintel” pastinya dikenali dikalangan profesional IT.
Terkini, Bill Gates, pengasas Microsoft telah memberi kritikan yang agak serius terhadap Intel, mengatakan bahawa syarikat tersebut telah ditinggalkan dalam sektor rekaan dan pengeluaran cip-cip semikonduktor oleh syarikat-syarikat seperti ARM, NVIDIA, Qualcomm, TSMC dan sebagainya, dan tidak boleh lagi dilihat sebagai gergasi semikonduktor dunia.
Ini adalah apa yang dikatakan beliau sewaktu temubual dengan Associated Press, dimana beliau turut mengatakan bahawa Pat Gelsinger sepatutnya juga telah diberi peluang untuk melihat projek IDM 2.0 beliau untuk membuahkan hasil, dimana beliau telah akhirnya memajukan proses binaan cip semikonduktor mereka dari 10nm yang digunakan dari 2016 ke 18A (18 Angstrom ataupun 1.8nm) pada tahun lepas.

Pelan beliau ialah untuk Intel kekal kompetitif di kedua-dua arena rekaan cip pemprosesan dan juga pengeluaran cip semikonduktor. Sejak Februari 2021 apabila beliau kembali ke Intel sebagai CEO sehinggalah beliau meletakkan jawatan pada Disember 2024, Intel dilihat telah memajukan proses pengeluaran cip pemprosesan mereka melalui program 5N4Y, yang bertujuan untuk memajukan proses pengeluaran cip semikonduktor mereka sebanyak lima kali dalam masa empat tahun.
Dalam tempoh tersebut, Intel juga dilihat telah memperkenalkan banyak produk cip pemprosesan yang menggunakan proses lebih moden, malah telah juga mengeluarkan kad grafik pertama mereka, Intel Arc Alchemist pada tahun lepas, dan akan diteruskan dengan Intel Arc Battlemage pada tahun ini.
Walaupun begitu, peperangan pasaran yang semakin sengit dan jumlah keuntungan yang semakin menurun, termasuklah kegagalan untuk memasuki pasaran peranti pintar menyebabkan Intel terpaksa membuang 15 ribu orang pekerja dan Pat Gelsinger dipaksa meletakkan jawatan pada penghujung tahun lepas.



