Billionaire India, Ratan Tata Meninggal Dunia

10 Oct 2024 • 9:44 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Billionaire India, Ratan Tata Meninggal Dunia

Billionaire terkenal India, Ratan Tata yang bertanggungjawab mengembangkan Kumpulan Tata menjadi sebuah konglomerat terkemuka dunia dilapor meninggal dunia pada usia 86 tahun, lapor AFP.

Berita pemergian mendiang dimaklumkan oleh Kumpulan Tata yang dipimpinnya selama lebih dua dekad melalui satu kenyataan pada Rabu.

Di bawah bimbinganya, syarikat itu berkembang menjadi sebuah empayar antarabangsa dengan portfolio merangkumi pelbagai sektor, daripada perisian sehinggalah kereta mewah.

“Dengan rasa kehilangan yang mendalam, kami mengucapkan selamat jalan kepada Ratan Naval Tata yang telah pergi meninggalkan kita semua.

“Mendiang merupakan seorang pemimpin yang luar biasa dan sumbangan luar biasanya bukan sahaja membentuk syarikat ini, tetapi juga negara kita (India).

“Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga mendiang. Legasi beliau akan terus menjadi inspirasi dalam usaha kita meneruskan prinsip yang diperjuangkannya selama ini,” kata pengerusi kumpulan itu, Natarajan Chandrasekaran.

Perdana Menteri India turut memuji kepimpinan Tata

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi memuji Tata sebagai “pemimpin perniagaan yang berwawasan, berjiwa penyayang dan manusia yang luar biasa”.

Dalam hantaran di X, Modi memberi penghormatan kepada Tata dengan mengimbas kembali pengalaman berinteraksi dengan mendiang sebelum ini.

Menurut AFP, Ratan Tata dilahirkan pada tahun 1937 dan melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina serta kejuruteraan struktur di Amerika Syarikat.

Beliau telah menyertai TISCO atau kini dikenali sebagai Tata pada tahun 1962. Dalam kariernya bersana syarikat itu, mendiang pernah menetap di asrama pekerja demi menimba pengalaman dan bertugas di bahagian pengeluaran.

Mendiang kemudian mengambil alih empayar yang dibina keluarganya itu pada tahun 1991, ketika India mula melaksanakan pembaharuan pasaran bebas secara radikal.

Selama 21 tahun di bawah pimpinannya, Tata mengembangkan jejak globalnya dengan menjadi konglomerat yang memayungi pelbagai jenama terkemuka seperti Jaguar dan Land Rover.

Mendiang juga dikenali sebagai seorang hartawan yang dermawan dan kerja-kerja kebajikan yang dijalankannya sebelum ini telah memberi manfaat kepada jutaan penerima.

Sumber: AFP