
KUALA TERENGGANU: Demi memastikan seni pembuatan keris tradisional tidak hilang ditelan zaman, seorang tukang keris di Kampung Ladang Titian di sini, mencurahkan ilmu kepada generasi muda sejak enam tahun lalu.
Zulkifli Yusof, 60, yang mula menempa sejak 1988, kini menjadi antara ‘pandai keris’ yang masih aktif bukan sahaja menghasilkan senjata warisan itu, malah melatih golongan muda meneruskan legasi berkenaan.
Katanya, minat terhadap pembuatan keris diwarisi daripada arwah bapanya dan dia mampu menghasilkan pelbagai jenis keris termasuk Keris Bugis, Anak Alang serta lebih 20 jenis lain yang mempunyai bentuk dan ukiran berbeza.
“Kerja membuat keris ini saya teruskan daripada arwah ayah. Saya mahu generasi muda juga mengenali dan mempelajari seni ini supaya tidak terputus begitu sahaja.
“Keris bukan sekadar untuk dijadikan perhiasan, malah digunakan dalam majlis perkahwinan, istiadat tertentu dan menjadi koleksi peminat,” katanya ketika ditemui di bengkelnya.
Zulkifli berkata, tempoh menyiapkan sebilah keris bergantung kepada reka bentuk dan ukiran yang mana keris biasa mampu dihasilkan sehingga dua bilah sehari manakala keris yang mempunyai ukiran halus mengambil masa kira-kira tiga hari.
Ujarnya, lebih 30 anak muda mengikuti bimbingannya sejak enam tahun lalu dengan tempoh pembelajaran kira-kira setahun enam bulan, bermula daripada asas sehingga mampu menghasilkan keris sendiri.
“Alhamdulillah, kebanyakan mereka yang tamat belajar sudah boleh membuat keris sendiri dan ada daripada mereka yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan,” jelasnya. – UTUSAN
The post Bimbing orang muda jadi ‘pandai keris’ appeared first on Utusan Malaysia.
