Binastra diunjur raih untung bersih sehingga RM24 juta daripada projek solar baharu, kata Phillip Capital

10/10/2025 - 12:09
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 10 Okt - Binastra Corporation Berhad diunjur meraih untung bersih antara RM21 juta hingga RM24 juta daripada projek solar baharu bernilai RM305 juta daripada Bahru Stainless Sdn Bhd, kata Phillip Capital.
Katanya, jumlah keuntungan itu adalah berdasarkan anggaran margin keuntungan bersih sebanyak 7% hingga 8%.
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak selama sembilan bulan itu melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi pembangunan sistem tenaga solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 65MWp dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) 200MWh di Pasir Gudang.
"Komponen tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam projek ini menonjolkan kepakaran kumpulan dalam rumusan pembinaan lestari, selaras dengan usaha Malaysia untuk mempercepatkan peralihan ke arah tenaga hijau," katanya dalam satu nota kajian.
Phillip Capital berkata, penganugerahan kontrak terbaharu ini menjadikan nilai kerja baharu yang diperoleh kumpulan setakat tahun kewangan 2026 (FY26) kini meningkat kepada RM1.9 bilion, sekali gus meningkatkan buku pesanan sedia ada kepada RM4.8 bilion.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, Binastra berada di landasan untuk melepasi jumlah penambahan kontrak FY25 sebanyak RM3.1 bilion, disokong projek-projek baharu yang dijangka akan diperoleh menjelang akhir tahun seperti projek EXSIM Kebun Teh dan Lumba Kudah serta projek Maxim Pelangi bernilai RM800 juta.
"Binastra menunjukkan keupayaan pelaksanaan yang kukuh dan margin keuntungan yang lebih tinggi berbanding pesaingnya, disokong reputasi kukuh sebagai kontraktor pilihan dalam kalangan pemaju utama," katanya.
Bagaimanapun, katanya, antara risiko utama yang perlu diperhatikan termasuk kelewatan dalam penambahan buku tempahan, penangguhan projek yang tidak dijangka, serta tekanan terhadap margin keuntungan.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM2.60 sesaham.- DagangNews.com
standard



