Bincang dahulu sebelum naikkan tarif Pelabuhan Pulau Pinang, kata Persatuan Pemilik Kapal Malaysia

20/05/2025 - 15:05
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 20 Mei - Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (Masa) menggesa kerajaan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan sebelum melaksanakan kenaikan tarif pelabuhan dan memperkenalkan struktur bayaran baharu.
Pengerusinya, Mohamed Safwan Othman berkata, cadangan kenaikan 30% tarif pelabuhan dan pelaksanaan struktur baharu di Pelabuhan Pulau Pinang perlu dibincang melalui Jawatankuasa Perundingan Pelabuhan terlebih dahulu.
"Sebarang kenaikan tarif mesti seiring dengan peningkatan kualiti perkhidmatan seperti pengurangan masa menunggu, pemunggahan lebih pantas dan sistem digital yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memberi amaran, perubahan tanpa perancangan rapi boleh meningkatkan kos operasi dan mengurangkan daya saing perdagangan negara.
Mohamed Safwan berkata, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah pelaburan semula hasil tambahan untuk menaik taraf kemudahan dan teknologi pelabuhan serta pelaksanaan kadar seragam di semua pelabuhan Malaysia.
"Selain itu, kerajaan mungkin boleh mewujudkan bantuan khas untuk syarikat pengangkutan kecil dan sederhana," ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan pengenalan beberapa bayaran baharu seperti caj alam sekitar dan kadar tunggu kapal tunda yang tidak disertakan dengan penjelasan terperinci.
Beliau menyeru semua pihak termasuk Kementerian Pengangkutan, pihak berkuasa pelabuhan dan operator logistik bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan peraturan yang adil dan telus. - DagangNews.com
featured standard



