Kejayaan rundingan tarif AS-China pacu semula pasaran hartanah Malaysia - IQI

13/05/2025 - 14:34
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 13 Mei - Kejayaan rundingan tarif antara China dan Amerika Syarikat (AS) memberi suntikan positif kepada pasaran hartanah Malaysia, menurut agensi hartanah global berpusat di Kuala Lumpur, IQI.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI, Kashif Ansari berkata, susulan pengumuman positif berkaitan tarif perdagangan oleh AS-China semalam, pelabur dan pemaju mula menyambung semula projek yang tertunda, pembeli besar bersedia menandatangani kontrak, sementara pemaju bersedia memulakan pembinaan projek baharu.
"Sebelum ini, pembelian hartanah di Malaysia menurun enam peratus berbanding suku tahun sama tahun lepas. Sebahagian besar kejatuhan ini berpunca daripada kebuntuan perdagangan AS-China yang membekukan banyak urus niaga.
"Malah, ada pelabur yang memilih untuk menunggu sebelum melabur ratusan juta ringgit dalam pelaburan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, asas pasaran hartanah Malaysia kekal kukuh, dengan dasar dan peraturan yang baik.
Kashif berkata, dengan keyakinan terhadap kestabilan global, aliran modal ke dalam urus niaga hartanah dijangka meningkat dengan ketara.
Kesan positif daripada pengumuman AS-China itu turut dirasai pasaran global.
Indeks S&P 500 di AS melonjak 2.6% pagi semalam, manakala indeks Hang Seng di Hong Kong naik 1.7% pada jam terakhir dagangan selepas berita tersebut diumumkan.
Bagaimanapun, perjanjian tersebut hanya sah untuk tempoh 90 hari sahaja.
Penganalisis berharap, satu perjanjian kekal dapat dicapai sebelum tempoh itu tamat, sekali gus menjadi petanda kepada pemulihan kestabilan ekonomi global.
"Jika rundingan ini berjaya diselesaikan tanpa kejutan lain, kami jangka harga rumah di Malaysia boleh meningkat sehingga 2% pada separuh kedua tahun ini.
"Rumah teres dijangka mencatat kenaikan paling tinggi, diikuti oleh pangsapuri dan rumah banglo," jelas Kashif. - DagangNews.com
standard




