
BARU-BARU ini, penulis bersama ahli keluarga berkesempatan meneroka keindahan bumi Kelantan selama tiga hari dua malam.
Usai pulang dari bumi Cik Siti Wan Kembang, penulis dan keluarga memilih untuk menginap semalaman di Genting Highlands, Pahang.
Tujuan penulis menginap di kawasan tanah tinggi itu adalah untuk meregangkan badan selepas menempuh perjalanan memenatkan dari Kelantan selama hampir tujuh jam.
Penulis tiba di hotel sekitar pukul 7 malam yang terletak di Genting Permai Avenue. Memandangkan ia malam minggu, keadaan di sekitarnya agak sesak dengan kenderaan dan orang yang lalu-lalang.
Pada sebelah malam, penulis dan keluarga mengambil kesempatan berjalan-jalan sambil membeli juadah di kedai dan gerai yang terdapat di bawah hotel.
Sebaik berada di kawasan itu, penulis dapat rasakan satu suasana yang kurang menyenangkan. Bunyi bising ekzos kereta diubah suai dan deruman motosikal berkuasa tinggi menguasai kawasan tersebut.
Bicara penulis pada isteri: “Nasib baik kita dapat bilik di tingkat 32, tak dengar sangat bunyi bising kenderaan-kenderaan yang lalu-lalang di sini”.
Memandangkan terlalu letih, penulis memilih untuk tidur lebih awal iaitu sekitar pukul 11 malam. Tidur penulis sekeluarga pada malam itu cukup nyenyak.
Ketika sedang ‘sedap’ tidur, penulis dan keluarga dikejutkan dengan bunyi ekzos kereta sekitar pukul 1 pagi. Bunyi berkenaan kedengaran sangat kuat kerana suasana hening pada masa itu.
Ketika meninjau dari tingkap, penulis dapati ada sebuah kereta diubah suai sedang memecut laju ke arah puncak Genting Highlands. Selepas keadaan kembali sunyi, penulis cuba melelapkan mata sekali lagi.
Namun, keadaan sama berulang lagi pada pukul 2 dan 3.45 pagi sehingga menyebabkan penulis berasa sangat tidak selesa untuk tidur lagi pada pagi itu.
Sudahnya, penulis tidak cukup tidur dan kepala berasa sakit kerana terganggu dengan bunyi bising ekzos kenderaan diubah suai yang lalu-lalang.
Hasil carian penulis dalam media sosial, rupanya ramai penghuni hotel dan pemastautin di Genting Highlands turut meluahkan rasa kurang selesa dengan bunyi bising ekzos kenderaan pada lewat malam.
Penulis juga mendapati, ada video yang menunjukkan seorang pemilik kereta sengaja memilih Genting Highlands untuk menguji kemampuan kenderaannya.
Justeru pada kesempatan ini, penulis menyeru tindakan segera diambil oleh pihak berwajib untuk memastikan ketenteraman penghuni hotel dan resort di Genting Highlands terjamin.
Antara usaha boleh dilakukan adalah melarang kenderaan yang ekzosnya diubah suai dan terlalu bising menaiki kawasan tersebut pada waktu tengah malam dan awal pagi.
The post Bingit ekzos ganggu penghuni hotel Genting Highlands appeared first on Kosmo Digital.


