Bini tertekan suami obses susunan barang dalam rumah

Family & ParentingLifestyle
23 Oct 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bini tertekan suami obses susunan barang dalam rumah

KEGOYAHAN rumah tangga Ainon (bukan nama sebenar), 40, mula bergolak apabila sikap suaminya yang terlalu obses terhadap susunan barang di rumah bertukar menjadi punca pertengkaran hampir setiap hari.

Wanita yang juga penjawat awam itu berkata, pada awal perkahwinan, dia menganggap perangai suaminya sekadar tanda lelaki berkenaan mementingkan kekemasan.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila setiap barang perlu diletakkan tepat pada kedudukan yang ditetapkan suaminya, termasuk kasut, peralatan dapur dan perabot ruang tamu.

“Kalau saya tersalah letak kasut atau mengalihkan kerusi, dia akan perasan.

“Kadangkala perkara kecil begitu boleh menyebabkan dia marah dan hujungnya kami bergaduh,” katanya saat berkongsi cerita bersama K-Wanita.

Ainon berkata, suaminya bukan sahaja mahu rumah sentiasa kemas, malah tidak suka apabila susunan barang berubah walaupun untuk memudahkan kerja pembersihan.

Pernah sekali, wanita itu mengalihkan beberapa barang di dapur ketika mengemas, namun suaminya berang sebaik sahaja menyedari perubahan tersebut.

“Dia akan tanya kenapa saya ubah sedangkan barang itu sudah ada tempatnya.

“Saya penat kerana setiap perkara perlu mengikut caranya dan kepalanya sahaja,” katanya kesal.

Menurut Ainon, keadaan itu membuatkannya semakin berhati-hati ketika melakukan kerja rumah kerana bimbang tindakannya mencetuskan pertengkaran.

Malah, dia mendakwa ada kalanya terpaksa menyusun semula barang yang sudah dikemas hanya kerana kedudukannya tidak menepati kehendak suami.

“Rumah itu rumah kami bersama, tetapi saya rasa seperti tidak mempunyai hak untuk menentukan apa-apa. Semuanya mesti ikut peraturan dia,” ujarnya lagi.

Pasangan itu mempunyai tiga orang anak dan Ainon bimbang pertengkaran berulang tersebut memberi kesan kepada suasana keluarga.

Dia berkata, anak-anak juga ‘diajar’ mengemas mengikut peraturan bapa mereka, sekali gus menjadikan urusan harian lebih tegang apabila berlaku kesilapan.

Ainon mengakui pernah cuba berbincang dengan suaminya supaya mereka mencari jalan tengah, namun perbezaan pandangan mengenai pengurusan rumah terus menjadi pertikaian.

“Saya tidak kisah kalau dia suka rumah bersih. Saya pun mahu rumah kemas, tetapi janganlah sampai semua perkara menjadi masalah,” katanya.

Tekanan yang berpanjangan membuatkan Ainon mula memikirkan masa depan perkahwinannya, terutama apabila usaha untuk memperbaiki keadaan tidak menunjukkan perubahan yang diharapkan.

Dia akhirnya mempertimbangkan dan mengambil keputusan memfailkan perceraian selepas merasakan dirinya semakin hilang ketenangan dalam rumah sendiri.

“Saya bukan hendak berpisah hanya kerana susunan kasut, meja dan kerusi.

“Saya sudah terlalu lama memendam perasaan dan mahu hidup dalam keadaan yang lebih tenang,” katanya yang turut pernah dimaki berkali-kali oleh suaminya.

Bagi Ainon, rumah tangga sepatutnya menjadi tempat pasangan saling menyokong, bukannya ruang yang membuatkan seseorang sentiasa takut melakukan kesilapan.

Sikap mementingkan kekemasan bukanlah satu kesalahan, namun ia boleh menjejaskan hubungan apabila disertai sikap mengawal, penghinaan atau keengganan bertolak ansur.

The post Bini tertekan suami obses susunan barang dalam rumah appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved