Bintai Kinden dapat balik tiga kontrak daripada TNB susulan siri rundingan

16/05/2025 - 11:12
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 16 Mei - Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mengembalikan semula tiga daripada 10 kontrak yang ditamatkan dua tahun lalu kepada Bintai Kinden Corp Bhd, selepas beberapa siri rundingan antara kedua-dua pihak.
Bintai Kinden berkata, kontrak yang dikembalikan itu dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn Bhd (KBK) dan melibatkan kerja-kerja pembaikan di tiga lokasi iaitu PMU 275kV/33kV Grik, Stesen Suis GIS 132kV Subang Jaya, dan Stesen Suis GIS 132kV Kuchai Lama.
"Perkembangan positif ini adalah hasil rundingan antara KBK dan TNB bagi menyelesaikan isu penamatan 10 kontrak oleh TNB pada 21 Jun dan 13 Julai 2023," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai penyelesaian dan kesannya akan diumumkan kemudian selepas syarikat menerima dokumen rasmi daripada TNB.
Penamatan kontrak oleh TNB sebelum ini dipercayai berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi Bintai Kinden, susulan pembatalan kemudahan pembiayaan bank.
Anak syarikat Bintai Kinden, Optimal Property Management Sdn Bhd, gagal membayar pinjaman RM109 juta daripada MBSB Bank Bhd untuk projek perumahan pelajar.
Akibatnya, Bintai Kinden dikategorikan sebagai syarikat bermasalah kewangan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) oleh Bursa Malaysia pada Mac 2023.
Pada Januari lalu, Bursa Malaysia meluluskan pelan penstrukturan semula Bintai Kinden.
Antaranya adalah menerbitkan 244 juta saham baharu, iaitu 20% daripada jumlah saham sedia ada, untuk mengumpul RM19.52 juta bagi membayar hutang dan sebagai modal kerja.
Pelan itu juga memberi pilihan kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Tay Chor Han, untuk memiliki sehingga 146.4 juta saham baharu, serta melaksanakan skim saham untuk pekerja sehingga 15% daripada jumlah saham syarikat.
Selain itu, Bintai Kinden bercadang mengurangkan modal saham sebanyak RM160 juta dan memberi fokus kepada sektor pembinaan bagi menambah sumber pendapatan. - DagangNews.com
standard

