Kontrak Pertamina perluas keupayaan penggerudian Cahya Mata Sarawak

06/05/2025 - 09:36
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 6 Mei - Kontrak tiga tahun yang diterima oleh Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB) daripada Pertamina Hulu Energy ONWJ menunjukkan usaha syarikat untuk mengembangkan perniagaan dalam operasi penggerudian.
Pertamina telah beroperasi di kawasan pengeluaran minyak ONWJ sejak tahun 1966 dan memiliki kemudahan pengeluaran minyak dan gas luar pesisir seperti pelantar minyak, saluran paip bawah laut dan kemudahan penyimpanan.
Pengarah Urusan Kumpulan CMSB, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata, kontrak yang bermula pada suku pertama tahun 2025 itu, menunjukkan kemampuan anak syarikatnya, Cahya Mata Oiltools Sdn Bhd dalam menyediakan rumusan khusus kepada industri tenaga.
"Berdasarkan prestasi cemerlang Oiltools tahun lalu, CMSB ingin memperkukuh perkhidmatan penggerudian bersepadu dan menembusi pasaran baharu.
"Tenaga kerja mahir di Indonesia juga membantu kami membina kepercayaan pelanggan," katanya dalam laporan tahunan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Pada September 2022, CMSB melalui Oiltools dan Oiltools International Sdn Bhd membeli Scomi Oilfield Ltd dan beberapa syarikat serta aset dalam kumpulan Oilfield dengan nilai RM21 juta bagi meneroka sektor tenaga global.
Scomi Energy kini beroperasi di 15 negara termasuk Asia, Asia Barat, Eropah dan Afrika, menawarkan perkhidmatan penggerudian cecair serta pengurusan sisa penggerudian.
Pada tahun ini, Oiltools akan menumpukan kepada pertumbuhan hasil melalui pengembangan pasaran, mendapatkan pelanggan baharu dan menggunakan kos secara berkesan.
Syarikat juga mahu mengekalkan pasaran sedia ada dan meneroka pasaran yang sedang pesat membangun seperti Asia Tenggara, Asia Barat, Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah.
"Kerjasama dengan rakan tempatan dan syarikat teknologi antarabangsa penting untuk meluaskan pasaran dan memperkukuh perkhidmatan kami," kata Sulaiman.
Mengenai kilang fosfat CMSB di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, Sulaiman menyatakan keyakinan operasi komersialnya akan bermula tahun ini walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk kesan pandemik Covid-19.
Projek berkenaan tergendala apabila Sesco Berhad menghentikan bekalan elektrik susulan pertikaian perjanjian pembelian tenaga yang ditandatangani pada 2019.
Cahya Mata Phosphates kini menuntut pampasan sebanyak RM1.2 bilion, manakala Sesco mengemukakan tuntutan balas melebihi RM342 juta.
Kes tersebut masih dalam proses timbang tara.
Sulaiman berkata, walaupun berdepan cabaran, pihaknya yakin kilang fosfat itu akan memberi sumbangan besar kepada kumpulan apabila beroperasi sepenuhnya, susulan permintaan tinggi global terhadap keselamatan makanan yang bergantung kepada penggunaan fosfat dalam industri pertanian serta makanan dan minuman.
Tambah beliau, buat masa ini, Cahya Mata Phosphates mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM96.79 juta untuk tahun kewangan 2024, namun lebih rendah berbanding RM156.7 juta pada tahun sebelumnya.
Dalam sektor kilang simen, CMSB melabur dalam pembinaan barisan pengeluaran batu klinker baharu berkapasiti 6,000 tan sehari untuk memenuhi permintaan tinggi projek kemudahan utama di Sarawak.
Fasiliti moden itu dijangka beroperasi menjelang 2027.
CMSB juga memperluas kilang pengadunan konkrit di lokasi strategik seluruh Sarawak bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memenuhi permintaan pelanggan di kawasan pembangunan utama. - DagangNews.com
standard

