
WASHINGTON — Dunia hiburan antarabangsa dikejutkan dengan pemergian bintang aksi Hollywood, Chuck Norris, yang dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat pada usia 86 tahun.
Memetik laporan Agence France-Presse (AFP), berita duka itu disahkan sendiri oleh ahli keluarga menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram.
“Dengan hati yang berat, keluarga kami ingin berkongsi mengenai pemergian mengejut insan yang kami sayangi, Chuck Norris, pagi semalam.
“Kepada dunia, beliau adalah seorang pakar seni mempertahankan diri, pelakon dan simbol kekuatan. Kepada kami, beliau seorang suami yang setia, bapa dan datuk yang penyayang, abang yang luar biasa, serta nadi keluarga kami,” menurut kenyataan itu.
Keluarga turut memaklumkan bahawa butiran lanjut mengenai pemergian beliau tidak akan didedahkan, namun Norris dilaporkan berada dalam keadaan tenang dan dikelilingi ahli keluarga ketika menghembuskan nafas terakhir.
Media Amerika Syarikat sebelum ini melaporkan bahawa beliau dimasukkan ke hospital di pulau Kauai akibat keadaan yang tidak didedahkan, beberapa hari selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-86 dengan berkongsi video latihan tinju di media sosial.
Ikon Filem Aksi & Seni Bela Diri Dunia
Chuck Norris, atau nama sebenarnya Carlos Ray Norris, memulakan karier lakonan pada 1968 menerusi watak kecil dalam filem The Wrecking Crew yang dibintangi Dean Martin.
Namanya mula melonjak selepas pertarungan epik bersama legenda kung fu, Bruce Lee dalam filem The Way of the Dragon, sekali gus menjadikannya ikon filem aksi di layar perak dan televisyen.
Minatnya terhadap seni mempertahankan diri bermula ketika berkhidmat dalam Tentera Udara Amerika Syarikat di Korea Selatan, sebelum mendalami tang soo do dan muncul sebagai juara karate Amerika Syarikat pada tahun 1967 di Madison Square Garden.
Selepas bersara daripada tentera pada 1962, beliau membuka studio seni bela diri di Los Angeles dan menjadi jurulatih kepada beberapa selebriti terkenal termasuk Steve McQueen, Priscilla Presley dan Donny Osmond.
Sepanjang kariernya, Norris membintangi pelbagai filem aksi popular termasuk Good Guys Wear Black dan Silent Rage, selain dikenali menerusi siri televisyen ikonik Walker, Texas Ranger.
Pemergian beliau disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia hiburan dan seni bela diri antarabangsa. – The Malaysian Update
The post Bintang Aksi Hollywood, Chuck Norris Meninggal Dunia Pada Usia 86 Tahun appeared first on The Malaysian Update.
