amree05/10/2026 - 12:30 NORANI Ahmad (kanan) ketika meninjau pelaksanaan biodiesel B15 di Stesen Petronas Presint 16, Putrajaya pada 3 Jun 2026. - Foto ihsan Kementerian Perladangan dan Komoditi Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt - Kebimbangan berhubung ketidaktentuan harga diesel di pasaran global akibat konflik Timur Tengah mampu diredakan menerusi pelaksanaan mandat biodiesel B15 yang memperkukuh jaminan keselamatan petroleum negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memberi jaminan langkah agresif ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan luar, malah dilindungi bukti saintifik yang mengesahkan ia tidak menjejaskan prestasi enjin kenderaan.
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun di Dewan Rakyat, beliau menegaskan pelaksanaan adunan itu sejak 1 Jun 2026 merupakan strategi dilaksanakan pihak kerajaan.
"Langkah ini memanfaatkan sepenuhnya kedudukan strategik Malaysia sebagai antara pengeluar utama minyak sawit dunia bagi memastikan ketersediaan bahan mentah tempatan yang konsisten," jelasnya.
Dari aspek fiskal negara ujar Noraini, penggunaan bahan api hijau ini secara langsung berupaya mengurangkan impak pendedahan Malaysia terhadap situasi pasaran minyak global yang tidak menentu.
Kestabilan domestik yang ditawarkan melalui biodiesel sawit ini berpotensi besar membantu kerajaan dalam menguruskan aspek perbelanjaan dan pemberian subsidi diesel secara jauh lebih efektif.

Menyentuh isu ketahanan kenderaan, beliau menjelaskan yang persediaan industri automotif tempatan terhadap adunan biodiesel sebenarnya bermula lebih awal menerusi sokongan badan antarabangsa.
"Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (JAMA) sejak 2016 menyokong penggunaan biodiesel hingga kadar B20 setelah melalui banyak ujian lapangan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)," katanya.
Malah, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sudah mengarahkan semua kenderaan diesel yang diimport ke pasaran Malaysia bermula Januari 2020 wajib mesra penggunaan B20 ke atas.
Bagi menjamin kualiti jelas Noraini, adunan biodiesel negara ini daripada gred B7 sehingga B20 dipastikan sentiasa mematuhi segala spesifikasi teknikal yang ketat di bawah Piawaian Malaysia MS 123-5:2020.
Rekod pelaksanaan B20 di Langkawi, Labuan, dan Sarawak sejak 2020 juga membuktikan sifar laporan kerosakan enjin diterima, sekali gus melenyapkan kebimbangan isu kos penyelenggaraan. - DagangNews.com





