Lonjakan eksport mampu lindungi ekonomi Malaysia daripada kejutan minyak AS$100 — Penganalisis RHB

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 11:23 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lonjakan eksport mampu lindungi ekonomi Malaysia daripada kejutan minyak AS$100 — Penganalisis RHB Image from: Lonjakan eksport mampu lindungi ekonomi Malaysia daripada kejutan minyak AS$100 — Penganalisis RHB johardy02/10/2026 - 11:23 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt - Prestasi eksport Malaysia yang kukuh boleh menjadi penampan penting kepada ekonomi daripada kejutan harga minyak melebihi AS$100 setong ketika gangguan di Selat Hormuz melonjakkan kos tenaga, pengangkutan dan pembuatan di seluruh dunia, menurut RHB Research.

 

Eksport melonjak 45.5% tahun ke tahun kepada RM191 bilion pada Ogos, disokong permintaan berterusan terhadap semikonduktor, peralatan pemprosesan data, produk elektrik dan elektronik (E&E) serta infrastruktur pusat data. RHB Economics menjangkakan eksport Malaysia berkembang 21.7% pada 2026.

 

Kekuatan eksport itu semakin penting ketika konflik di Timur Tengah mengancam untuk membawa tekanan kos lebih tinggi kepada ekonomi Malaysia, walaupun negara mendapat manfaat daripada kedudukannya yang disifatkan RHB sebagai satu-satunya pengeksport bersih minyak dan gas di ASEAN.

 

Penganalisis RHB, Alexander Chia, dalam laporan `Malaysia Strategy' terbaharu firma penyelidikan itu berkata, kecairan domestik yang kukuh, dasar pertumbuhan yang menyokong, kitaran menaik teknologi yang tepat pada masanya serta momentum positif pendapatan korporat turut menyediakan sokongan kepada Malaysia dalam menghadapi risiko geopolitik yang semakin meningkat.

 

Ancaman lebih besar datang daripada gangguan di Selat Hormuz. RHB memberi amaran konflik itu boleh mencetuskan tekanan kenaikan kos menerusi harga minyak mentah dan produk petrokimia yang lebih tinggi, peningkatan kos pengangkutan serta kerosakan infrastruktur minyak dan gas serantau.

 

Bagi Malaysia, keadaan itu mewujudkan situasi ekonomi yang unik. Harga minyak lebih tinggi boleh memberi manfaat kepada sebahagian sektor tenaga dan eksport komoditi, tetapi kejutan harga yang sama juga boleh meningkatkan kos pengilang, pengendali pengangkutan, perniagaan dan akhirnya pengguna.

 

Eksport jadi penampan penting

Di sinilah kekuatan eksport Malaysia menjadi semakin penting. RHB berkata permintaan berterusan terhadap semikonduktor, peralatan pemprosesan data, produk E&E dan infrastruktur pusat data dijangka menjana penerimaan matawang asing, manakala lebihan dagangan elektronik negara menyediakan penampan penting terhadap peningkatan bil import tenaga akibat harga minyak yang tinggi.

 

RHB kekal positif terhadap prospek eksport Malaysia dengan mengunjurkan pertumbuhan 21.7% pada 2026, disokong eksport barangan perkilangan yang berdaya tahan, khususnya produk E&E, selain kekuatan berterusan eksport berkaitan komoditi terutama gas asli.

 

Kedudukan luaran Malaysia menyediakan satu lagi lapisan perlindungan. Negara mencatat lebihan akaun semasa RM10.8 bilion pada suku kedua, manakala RHB menjangkakan lebihan itu kekal melebihi 2.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 dan 2027, disokong lebihan dagangan barangan serta peningkatan penerimaan sektor pelancongan.

 

Kitaran teknologi pula berpotensi mengukuhkan penampan itu. RHB berkata pelaburan global yang pesat dalam semikonduktor, pusat data, infrastruktur awan dan peralatan pengkomputeran termaju telah meningkatkan perdagangan serta aktiviti pembuatan global, dengan Malaysia muncul sebagai bahagian penting dalam rantaian bekalan teknologi ASEAN.

 

Namun, perlindungan itu bukan mutlak. RHB memberi amaran konflik Timur Tengah yang berpanjangan boleh mengekalkan risiko inflasi global pada paras tinggi, manakala kenaikan kos minyak mentah, petrokimia dan pengangkutan boleh terus memberi tekanan kepada perniagaan serta rantaian bekalan.

 

Pertumbuhan global yang lebih perlahan pula boleh menjejaskan eksport Malaysia — enjin yang pada masa sama membantu ekonomi menghadapi kejutan harga minyak.

 

Chia menjangkakan pertumbuhan dan prestasi eksport Malaysia yang lebih kukuh, disokong perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, pelaburan serta permintaan luaran, akan memacu pertumbuhan KDNK sebanyak 5.4% pada 2026 dan 4.9% pada 2027.

 

Dalam keadaan itu, keupayaan Malaysia mengekalkan pertumbuhan eksport E&E, teknologi dan komoditi boleh menjadi antara benteng terpenting negara dalam menghadapi kejutan harga minyak yang berpunca dari Selat Hormuz. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved