Biodiesel sawit alternatif baharu tangani kos diesel - Ahmad Shabery

LocalBusiness & Finance
7 Apr 2026 • 3:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Shabery (kanan) bersama kenderaan milik Felda yang menggunakan B100 sekali gus membuktikan keupayaan bahan api berkenaan.

KUALA LUMPUR - Penggunaan biodiesel sawit tulen (B100) berpotensi menjadi alternatif berdaya saing kepada diesel konvensional dalam menangani kos bahan api serta isu keselamatan tenaga negara.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, biodiesel B100 merupakan antara pertama di dunia tanpa campuran bahan api fosil, berbeza dengan penggunaan semasa seperti B7, B10 atau B20.

Menurut beliau, sebelum ini B100 dilihat hanya dari sudut kelestarian kerana sifatnya yang lebih bersih dan boleh diperbaharui, namun kekangan kos tinggi menjadi penghalang utama pelaksanaannya.

"Dulu kos pengeluaran B100 mencecah sekitar RM4.40 seliter, lebih mahal berbanding diesel biasa ketika itu dan sebab itu ia sukar dilaksanakan secara meluas.

"Namun dalam situasi krisis global hari ini, kita melihat B100 sebagai satu jawapan baharu kerana kosnya kini lebih kompetitif berbanding diesel dalam pasaran," katanya pada sidang akhbar di.

Ahmad Shabery menjelaskan, perbandingan semasa menunjukkan harga diesel industri sekitar RM7 seliter, manakala B10 lebih rendah iaitu sekitar RM6.02 seliter.

"Jika di peringkat pengeluaran, B100 boleh dihasilkan sekitar RM4.40 hingga RM4.50 seliter bergantung kepada harga minyak sawit mentah, sekali gus memberi jurang penjimatan yang besar kepada industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar di Dewan Ballroom Menara Felda di sini pada Selasa.

Ahmad Shabery berkata, penggunaan biodiesel secara meluas mampu memberi kesan langsung kepada pengurangan kos operasi sektor pengangkutan, perikanan dan industri yang bergantung kepada diesel.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan beban subsidi bahan api kerajaan kini meningkat mendadak sehingga mencecah kira-kira RM6 bilion sebulan berbanding sekitar RM700 juta sebelum ini.

"Tekanan kepada kerajaan amat besar. Jadi kita cuba tampil dengan solusi, bukan menambah beban,” katanya.

Mengulas kapasiti pengeluaran, beliau berkata Malaysia menghasilkan kira-kira 20 juta tan minyak sawit mentah setahun, yang secara teori mencukupi untuk menampung keperluan diesel domestik.

"Namun, kekangan utama ketika ini adalah kapasiti pemprosesan dan permintaan pasaran yang masih rendah.

"Banyak kilang sebenarnya beroperasi di bawah kapasiti kerana permintaan biodiesel tidak tinggi sebelum ini, tetapi kapasiti itu boleh ditingkatkan jika dasar jelas diperkenalkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan peningkatan campuran biodiesel di stesen minyak daripada B10 kepada tahap lebih tinggi seperti B20 atau B30 secara berperingkat.

Dalam perkembangan sama, Felda akan memulakan penggunaan B100 dalam keseluruhan ekosistemnya sebagai langkah awal membuktikan keupayaan bahan api itu.

"Kita sudah uji kenderaan menggunakan B100 selama 15 bulan dan sejauh 50,000 kilometer tanpa masalah besar.

"Ini menunjukkan ia praktikal dan selamat digunakan,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan meningkatkan keyakinan industri terhadap penggunaan biodiesel sawit secara meluas.

"Prinsip kita dalam keadaan krisis ialah membantu mencari penyelesaian. Kita sudah ada sumber, jadi kenapa perlu terus bergantung kepada import,” katanya.