BANGI – Komitmen Waqaf Felda dalam menyantuni pesakit kanser kanak-kanak diteruskan apabila menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS) pada Isnin.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kebajikan berterusan Waqaf Felda sejak tahun 2024 yang telah menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM56,895 kepada KIDS melalui pelbagai program termasuk bantuan persekolahan serta ziarah pesakit di wad hospital.
Waqaf Felda dalam satu kenyataan memaklumkan majlis berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Puspanita Cawangan Kecil Felda, Yayasan Felda serta Felda Plantation Management Sdn Bhd.
Menurut kenyataan itu, program tersebut diadakan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan kanser.
“Program ini merupakan julung kali dianjurkan bersama KIDS bagi meraikan pejuang anak-anak kanser serta memberi mereka peluang merasai suasana Ramadan dalam persekitaran yang penuh kasih sayang, sokongan dan kegembiraan,” menurut kenyataan itu.
Majlis berkenaan menghimpunkan seramai 45 anak-anak kanser bersama penjaga masing-masing bagi meraikan Ramadan.
**media[3460599]**
Penganjuran program tersebut bertujuan menyantuni anak-anak kanser selain memberi sokongan moral kepada mereka dan keluarga agar terus kuat menghadapi cabaran rawatan.
“Selain itu, majlis ini juga menjadi platform kepada masyarakat khususnya warga Felda untuk mendekati serta memberi semangat kepada pesakit kanser kanak-kanak supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih positif dan bermakna,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Waqaf Felda memaklumkan pihaknya akan terus melaksanakan inisiatif ziarah ke wad hospital bagi menyantuni anak-anak kanser yang sedang menerima rawatan.


