Bisnes tudung raih anugerah, siswi bioperubatan mahu buka lebih banyak peluang pekerjaan

Business & FinanceStartup
14 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bisnes tudung raih anugerah, siswi bioperubatan mahu buka lebih banyak peluang pekerjaan

“Apabila permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) saya tidak berjaya pada percubaan pertama, saya melihat situasi tersebut sebagai satu titik untuk bangkit dan mencari sesuatu yang boleh saya lakukan sementara menunggu hala tuju seterusnya.

“Di sinilah menjadi titik tolak kepada perusahaan tudung Avelia Scarves (Avelia) pada 2021, apabila saya mengambil keputusan untuk menjual tudung secara kecil-kecilan dengan bermodalkan duit simpanan RM100 bagi menambah pendapatan dan membantu ibu bapa.”

Demikian cerita Nur Adriyana Ahmad Fazli, 23, ketika menceritakan hikmah di sebalik kegagalan permohonan UPU yang pertama sehingga dia secara tidak sengaja bergelar usahawan kerana tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang itu.

“Ketika kecil, saya lebih membayangkan diri dalam bidang profesional, khususnya yang berkait dengan sains dan kesihatan.

“Namun saya percaya, kita tidak sepatutnya mengehadkan kebolehan diri kepada satu laluan sahaja.

“Saya sentiasa terbuka untuk mencuba perkara baharu dan sepanjang membina Avelia, saya mula menyedari bahawa saya sangat menikmati proses membina sesuatu daripada kosong, menyelesaikan masalah, mencipta peluang dan melihat sesuatu idea berkembang menjadi realiti,” katanya kepada K-Kampus baru-baru ini.

Kini, dia merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Bioperubatan di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hasil kerja keras Nur Adriyana atau lebih mesra disapa Yana membangunkan perusahaannya itu telah mendapat perhatian dan pengiktirafan melalui Geran Keusahawanan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Di samping itu, Yana mendapat Geran Latihan Pemasaran KPT bernilai RM10,000 dua tahun lalu.

Baru-baru ini, Yana dinobatkan sebagai juara kategori Syarikat Pemula Pelajar Terbaik di Majlis Anugerah Keusahawanan KPT 2025 (AKKPT 2025).

“Geran-geran ini banyak membantu saya untuk memperkukuhkan operasi, pemasaran dan pembangunan jenama supaya perniagaan dapat bergerak lebih tersusun dan kukuh.

“Pengalaman ini mengajar saya bahawa kekurangan modal tidak menjadi halangan untuk kita bermula,” ujarnya.

Image from: Bisnes tudung raih anugerah, siswi bioperubatan mahu buka lebih banyak peluang pekerjaan
YANA (tiga dari kanan) ketika dinobatkan sebagai juara kategori Syarikat Pemula Pelajar Terbaik di Majlis AKKPT 2025 di ibu negara baru-baru ini.

Selain anugerah tersebut, Yana turut menerima pelbagai pengiktirafan seperti Anugerah Pasukan Kesukarelawanan Terbaik UKM, Anugerah Tokoh Inspirasi Bitara Sains Bioperubatan, Majlis Anugerah Pelajar dan Hari Interaksi Alumni Sains Bioperubatan (MAPHIS 2025).

Dia juga pernah menyertai program United Kingdom-Malaysia Sustainable Entrepreneurship di bawah biasiswa penuh daripada British Council selama seminggu di Universiti Malaya (UM).

Menariknya, dia berjaya mendapat tempat ketiga dalam persidangan keusahawanan tersebut melalui kolaborasi bersama peserta dari Malaysia, United Kingdom (UK) dan China.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, Avelia bukan sekadar jenama fesyen, tetapi sebagai satu platform yang mementingkan pengalaman pelanggan, kolaborasi dan pembangunan mahasiswa.

“Kami membina sebuah ekosistem yang melibatkan mahasiswa daripada pelbagai universiti untuk bekerjasama dalam bidang seperti pemasaran, penciptaan kandungan, reka bentuk, produksi, pembangunan laman web dan pengurusan projek.

“Antaranya, kami telah menjalinkan kolaborasi bersama pelajar daripada University of Manchester dari UK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Universiti Malaya dan UiTM Puncak Alam.

“Baru-baru ini, kami bekerjasama dengan pelajar Komunikasi Massa dari UiTM Rembau untuk membangunkan laman web Avelia,” katanya yang berasal dari Ampang, Selangor.

Baginya, kolaborasi tersebut bukan sahaja dapat membantu perniagaan, malah turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu mereka dalam situasi sebenar dan membina portfolio.

Selain itu, Yana menggunakan platform Avelia untuk memberi manfaat kepada masyarakat seperti menjalankan kempen kesedaran sempena Hari Kanser Sedunia bersama UiTM Dengkil serta Kolej Profesional Mara (KPM).

Kempen berkenaan berjaya menyumbangkan RM1,400 daripada hasil jualan.

Image from: Bisnes tudung raih anugerah, siswi bioperubatan mahu buka lebih banyak peluang pekerjaan
YANA bergambar kenangan bersama ibunya selepas berjaya meraih juara kategori Syarikat Pemula Pelajar Terbaik di Majlis AKKPT 2025.

Mengulas mengenai anugerah Syarikat Pemula Pelajar Terbaik di AKKPT 2025 yang diterimanya Mei lalu, Yana menzahirkan rasa syukur dan tidak menyangka perusahaan bermodalkan RM100 boleh sampai ke tahap sekarang.

“Pengiktirafan ini sangat bermakna kerana ia menunjukkan bahawa sesuatu perniagaan yang kecil juga tetap mampu untuk membawa nilai lebih besar apabila kita mempunyai visi untuk membangunkannya.

“Aspek seperti kekuatan model perniagaan, inovasi, perkembangan syarikat, kolaborasi, penglibatan mahasiswa serta impak yang diberikan kepada komuniti juga memainkan peranan dalam pengiktirafan ini,” tuturnya.

Selain itu, dia aktif dalam aktiviti kepimpinan, kesukarelawanan dan penglibatan komuniti sepanjang pengajian di universiti.

Tidak hanya berkebolehan dalam menguruskan perniagaan, Yana juga aktif di universiti dengan memegang pelbagai jawatan penting.

Image from: Bisnes tudung raih anugerah, siswi bioperubatan mahu buka lebih banyak peluang pekerjaan
YANA aktif dalam pelbagai program di dalam dan luar kampus.

Misalnya, dia menjadi Presiden Kelab Kesukarelawanan Kolej Tun Syed Nasir (KTSN) dan mengetuai beberapa program kesihatan seperti Hari Kesedaran Thalassemia dan Hari Diabetes FSK 2025.

Akui Yana, bergelar pelajar, usahawan serta bergiat aktif di luar bilik kuliah dalam satu-satu masa bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia perlu menyeimbangkan semuanya agar tidak tercicir.

“Saya tidak bergantung kepada jadual yang terlalu rigid.

“Sebaliknya, saya belajar untuk mengenal pasti keutamaan dan mengurus tenaga dengan lebih bijak.

“Ada masa akademik perlu didahulukan, dan ada masa perniagaan memerlukan perhatian lebih.

“Apa yang paling saya perlu terapkan keseimbangan, dan bukan memberi masa sama kepada semua perkara.

“Sebaliknya, saya perlu memberi fokus kepada perkara yang paling penting pada waktu tepat,” katanya yang berpegang kepada prinsip hidup, ‘jangan menunggu peluang datang, tetapi berani mencipta peluang’.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, dia berharap jenamanya terus berkembang, bukan sahaja di pasaran tempatan, malah di luar negara sehingga mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada ramai orang.

Sebelum menutup bicara, Yana menyampaikan pesan kepada anak muda di luar sana agar tidak takut untuk mencuba sesuatu yang diminati.

“Saya sendiri memulakan perjalanan ini tanpa mengetahui banyak perkara dan melakukan banyak kesilapan. Namun, saya belajar bahawa kita tidak perlu menunggu sehingga kita rasa benar-benar bersedia untuk bermula.

“Apa yang penting, kita ada perancangan, kita buat penyelidikan, kita tahu apa yang ingin dicapai dan sentiasa bersedia untuk belajar.

“Kita juga perlu beri masa kepada diri sendiri. Setiap orang mempunyai perjalanan dan tempoh masa yang berbeza,” katanya sebelum menutup bicara.

The post Bisnes tudung raih anugerah, siswi bioperubatan mahu buka lebih banyak peluang pekerjaan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved