TUMPAT - Seekor lembu jantan kacukan Kedah-Kelantan yang diberi nama Bitara dan memiliki corak seakan-akan kalimah ALLAH pada badannya menjadi rebutan 20 pembeli sehingga ada menawarkan haiwan itu sehingga mencecah RM30,000.
Pemilik Khir Bitara Farm, Muzakkir Mansor, 41, dari Kampung Pulau Raja, Sungai Pinang, Palekbang di sini memberitahu, pada awalnya dia serta rakan kongsi, Che Mohd Faizul Che Abdullah, 41, tidak menyedari kewujudan kalimah tersebut pada haiwan berkenaan yang dibeli dari Bendang Pak Yong untuk tujuan jualan korban.
"Kami beli lembu dalam jumlah yang banyak pada enam bulan lalu. Jadi tidak perasan tentang perkara tersebut sehinggalah haiwan ternakan ini dibuka untuk jualan sambutan Aidiladha.
**media[3503421]**
"Ada pelanggan yang datang ke ladang dan perasan tentang perkara ini. Sejak itu ia mula menjadi perhatian mereka yang datang ke sini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Isnin.
Menurutnya beliau, namun gambar lembu terbabit tidak dikongsikan di mana-mana media sosial bimbang jika ia tular serta menjadi tumpuan orang ramai yang ingin melihatnya dari dekat.
Ujarnya, lembu berusia tiga tahun lebih dan mempunyai berat 280 kilogram (kg) itu dibeli pada harga RM3,000 dan sehingga sekarang ramai yang berebut untuk mendapatkannya.
Namun jelas Muzakkir, mereka belum berminat hendak menjual lembu istemewa tersebut buat masa sekarang.
"Setakat ini kami belum puas lagi melihat Bitara. Mungkin ia akan disembelih untuk kenduri, jamu orang ramai makan atau pun dagingnya disedekahkan. Bergantung kepada keadaan akan datang," katanya.


