Lebih 100 penternak berdepan kes pencuri lembu

21 Apr 2026 • 4:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 100 penternak berdepan kes pencuri lembu
Kira-kira lebih 80 ekor lembu dilaporkan hilang dipercayai dicuri sejak tahun lalu hingga tahun ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penternak di tanah rancangan berkenaan. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Image from: Lebih 100 penternak berdepan kes pencuri lembu
Lebih 100 penternak di Felda Kemahang 1, Tanah Merah diselubungi kebimbangan apabila terpaksa berdepan dengan pencuri lembu sejak dua tahun lalu. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Image from: Lebih 100 penternak berdepan kes pencuri lembu
Kira-kira lebih 80 ekor lembu dilaporkan hilang dipercayai dicuri sejak tahun lalu hingga tahun ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penternak di tanah rancangan berkenaan. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

TANAH MERAH - Lebih 100 penternak di Felda Kemahang 1 di sini diselubungi kebimbangan apabila terpaksa berdepan dengan pencuri lembu sejak dua tahun lalu.

Lebih membimbangkan, salah seorang daripada mereka telah menjadi mangsa tembak sehingga mengalami luka di bahagian dagu ketika sedang membuat rondaan di kawasan ladang tersebut.

Kira-kira lebih 80 ekor lembu dilaporkan hilang dipercayai dicuri sejak tahun lalu hingga tahun ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penternak di tanah rancangan berkenaan.

Ketua Peneroka Felda Kemahang 1, A'ripin Zakaria berkata, kegiatan itu dilihat semakin memuncak bermula bulan Ramadan hingga Aidiladha yang mana pada tahun lalu lebih 50 ekor lembu telah dicuri.

**media[3497992]**

Menurut beliau, setakat tahun ini pula, sekitar 30 ekor lembu dilaporkan hilang berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya.

"Kes kecurian lembu ini sebenarnya sudah berlaku kira-kira tiga tahun lalu, namun mula menjadi serius pada tahun lepas.

"Paling teruk ketika Ramadan sehingga musim korban apabila banyak ternakan penternak hilang," katanya kepada pemberita pada Selasa.

A'ripin memberitahu, susulan kejadian berulang, penternak di sini sebelum ini pernah mengadakan solat hajat sebelum berjaya membuat tangkapan tiga suspek terdiri daripada penduduk tempatan dan warga Thailand.

**media[3497993]**

Beliau berkata, kebanyakan lembu yang dicuri dipercayai dijual semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, setiap seorang penternak memiliki antara 10 hingga 50 ekor lembu manakala ada yang menternak sehingga 100 ekor.

Ujar A'ripin, kawasan penternakan itu melibatkan keluasan kira-kira 2,400 hektar termasuk sekitar Kemahang 3, sekali gus menyukarkan pemantauan dilakukan secara menyeluruh.

"Bagi mengatasi masalah ini, kami bercadang menggali parit di laluan tikus yang dipercayai digunakan pencuri sebagai jalan keluar membawa ternakan.

"Kami juga berharap pihak berkuasa dapat meningkatkan rondaan selain kerjasama penduduk bagi membanteras kegiatan ini," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Isnin melaporkan polis sedang memburu lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan terhadap seorang penternak lembu di Ladang Kemahang di sini awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, cedera selepas terkena tembakan di bahagian dagu ketika melakukan rondaan bersama rakannya bagi mengesan kegiatan curi lembu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.26 pagi.

Menurut beliau, sebelum kejadian pengadu yang merupakan jurujual berusia 35 tahun bersama rakannya menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan sejak jam 1.30 pagi.

"Mereka kemudian terserempak dengan sekumpulan kira-kira lima lelaki dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan Thailand.

"Suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pengadu dan rakannya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu, kedua-dua mangsa bertindak melarikan diri bagi menyelamatkan diri sejurus kejadian berlaku.

Menurutnya, seorang daripada mereka, iaitu Mohd Khairul Amri bagaimanapun terkena tembakan di bahagian dagu.