Black Myth : Wukong Berjaya Dijalankan Pada Peranti Snapdragon 8 Gen 3

TechnologyGamingDigital
27 Aug 2024 • 12:39 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Black Myth : Wukong ialah permainan video paling hangat di dunia sekarang dengan ia mempunyai lebih 2.2 juta pemain di Steam dan berjaya mencatatkan jualan 10 juta salinan bernilai $450 juta dalam masa kurang 4 hari. Tetapi pada ketika ini ia hanya ditawarkan di PC dan PS5. Walaupun begitu, di China permainan ini berjaya dijalankan pada peranti dengan cip Snapdragon 8 Gen 3.

Video di atas pada asalnya dimuat naik menerusi laman BiliBili. Walaupun permainan boleh dijalankan, prestasinya adalah amat kurang memuaskan dengan kadar bingkai maksimum yang dicapai ialah sekadar 15 FPS. Pada PC, anda memerlukan sebuah komputer dengan RTX 4090 untuk menjalankan Black Myth : Wukong pada tetapan maksimum. Di PS5 pula, tetapan lebih sederhana digunakan tetapi isu prestasi dilaporkan oleh pemain.

Maka mengharapkan Snapdragon 8 Gen 3 menjalankan permainan ini dengan lancar ialah kurang realistik. Ini dijangka berubah menerusi Snapdragon 8 Gen 4 yang dilengkapi CPU Oryon yang sama seperti cip komputer Snapdragon X Elite dan X Plus. Mungkin tahun ini akhirnya permainan PC boleh dijalankan pada telefon pintar Android seperti yang boleh dilakukan pada siri iPhone 15 Pro sejak tahun lalu.