BMI: Rangkaian persendirian 5G pengupaya kritikal transformasi digital

TechnologyBusiness & Finance
12 Oct 2023 • 4:20 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Rangkaian persendirian 5G akan menjadi pengupaya kritikal transformasi digital bagi perusahaan besar dalam pelbagai industri di seluruh Asia Tenggara dalam tempoh lima tahun akan datang, kata anak syarikat Fitch Solutions, BMI.

Menurutnya di Malaysia, langkah ini akan melibatkan kerjasama antara perusahaan dan pengendali rangkaian mudah alih berlesen berikutan ketika ini spektrum telah terikat dengan pengendali individu (3G/4G) dan platform 5G milik kerajaan, Digital Nasional Bhd.

“Jika lebih banyak perusahaan menggunakan rangkaian 5G persendirian, ini akan menjadikan platform 5G kedua milik kerajaan yang dirancang itu lebih berdaya maju secara komersial dan menyediakan kerajaan saluran langsung kepada semua industri yang berhasrat memanfaatkan transformasi teknologi 5G masing-masing,” katanya dalam nota hari ini.

Sehubungan itu, BMI percaya langkah pertama yang dibuat oleh Petronas adalah penting bagi menggalakkan perusahaan lain - awam dan swasta - untuk mengikut jejak langkah itu.

Petronas telah melaksanakan rangkaian persendirian 5G di kawasan pengegasan semula utama di Melaka untuk meraih kecekapan operasi dan menyokong pembangunan perkhidmatan terhubung termaju bagi aplikasi Internet Pelbagai Benda.

Pelaksanaan ini, sebagai rangkaian 5G persendirian pertama digunakan bagi aplikasi gred perusahaan di Malaysia, berhasrat untuk meneruskan agenda transformasi digital negara yang lebih luas.

BMI berkata, 5G adalah satu-satunya daripada pelbagai teknologi sambungan wayarles yang tersedia untuk perusahaan. Pilihan seperti WiFi6 atau WiFi7 serta penyelesaian rangkaian kawasan luas kuasa rendah (LP-WAN) juga boleh digunakan untuk mempermudah aplikasi dan penyelesaian yang ingin dilaksanakan Petronas dan pihak lain sepanjang dekad akan datang.

“Ini boleh digunakan dengan 5G atau sebagai platform kendiri di bahagian perniagaan yang berbeza dan menyediakan sektor ini kepada penyedia penyelesaian khusus berbanding menyebabkan perusahaan bergantung kepada pengendali rangkaian mudah alih awam sedia ada,” katanya.

BMI berkata 5G persendirian akan menyokong automasi dan menguruskan kemajuan, menambah kecekapan operasi menerusi aplikasi seperti logistik jarak jauh, meningkatkan keselamatan pekerja dan proses aliran kerja lokasi khusus dan penggunaan infrastruktur kritikal kependaman rendah menerusi sensor pintar.

“Perniagaan tani, infrastruktur, penjagaan kesihatan, pembuatan, logistik, industri berat dan sektor pendidikan akan berusaha untuk menerima guna teknologi wayarles dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Menurut BMI, kejayaan Petronas dalam melaksanakannya berupaya menggalakkan permintaan di seluruh sektor ini, terutamanya sekiranya menerima sokongan daripada kerajaan. -Bernama