Sebut sahaja M dalam siri BMW, pasti semua akan tahu siri ini merupakan siri yang paling berkuasa dan berprestasi tinggi dalam penawaran BMW, baik kereta mahupun motosikal. Pada hari ini BMW Malaysia telahpun memperkenalkan BMW M5 yang paling terbaru, dikuasakan gabungan enjin petrol dan motor elektrik, dan menawarkan pemanduan hibrid dengan kuasa sehingga tork sehingga 1000 Nm.

BMW M5 merupakan kereta pertama dalam siri M bersaiz saloon yang menampilkan sistem Plug-In Hybrid (PHEV) dan mempunyai palam pengecasan untuk mengecas bateri, dan baterinya turut boleh dicaj semula menerusi penggunaan enjin petrol. Sistem pemanduan hibrid ini merupakan gabungan enjin petrol M TwinPower Turbo 4.4L V8 yang menghasilkan tenaga 430kW / 585 hp dan motor elektrik BMW eDrive yang menghasilkan tenaga 145 kW / 197 hp.
Kedua-dua ini menjadikan tenaga maksimum sekitar 727 hp dan tork 1000 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 3.5 saat, atau 0-200 km/j sepantas 10.9 saat serta kelajuan maksimum mencapai 250 km/j.

Sebagai kereta hibrid PHEV, pengguna boleh mengecas bateri kereta ini yang menyediakan soket pengecasan AC 11 kW, membolehkan pengecasan penuh bateri 18.6 kWh selama 3 jam 15 minit. Pada pengecasan penuh, ia boleh memberikan jarak perjalanan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 69KM WLTP. Pemandu bebas memilih jika ingin mengaktifkan pemanduan hibrid sepenuhnya menggunakan butang M Hybrid yang terletak berhampiran dial kawalan di tengah dan memilih mod ELECTRIC.


BMW M5 ini juga sarat dengan pelbagai rekaan luaran dan dalaman serta fungsi yang mengetengahkan ciri prestasi dan kemewahan. Bahagian hadapan dilengkapi dengan lampu LED Adaptif dan ruang kemasukan udara BMW yang popular dipanggil ‘kidney grill’ turut mempunyai lampu LED yang menghiasinya baik siang dan malam.

Rekaan dalaman pula lengkap dengan paparan instrumen bersaiz 12.3-inci dan paparan inforia bersaiz 14.9-inci, dikuasakan BMW OS 8.5 dan Live Cockpit Professional. Dari segi keselesaan ia turut menyertakan tempat duduk dengan kemasan dwi-tona kulit Merino, hiasan fiber karbon, pengecas nirwayar untuk telefon pintar, 18 pembesar suara Bowers & Wilkins dan pelbagai lagi.
BMW M5 ini tersedia dalam 8 warna luaran dengan 4 pilihan warna kemasan dalaman. Ia akan dijual pada harga RM 1,188,800. Anda boleh melihat sendiri kereta ini dipamerkan di acara My BMW World yang berlangsung dari 13-15 Jun 2025 di Sentul Yard, Kuala Lumpur dimana BMW turut mempamerkan sejarah teknologi kenderaan mereka, model-model baharu termasuklah MINI elektrik, serta barisan motosikal BMW Motorrad.

