
TAMPIN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan susulan terdapat pihak yang didakwanya memberikan wang kepada orang ramai dengan tujuan membeli undi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, lusa.
Beliau berkata, keadaan itu dipercayai berpunca daripada kebimbangan parti lawan terhadap momentum kempen BN yang semakin meningkat sejak dua atau tiga hari lalu menjelang hari pengundian.
“Dalam keadaan yang sangat terdesak ini, pelbagai taktik di akhir pusingan telah berlaku, antaranya seperti yang dilaporkan media hari ini, kononnya berlaku ‘hujan lebat’ di tempat-tempat tertentu untuk membasahi bumi.
“Tetapi itu bukan kaedah yang diizinkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya. Laporan polis telah dibuat dan saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap perkara ini. Berkempenlah dengan cara yang berhemah dan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sembilan 2026 di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan mengenai dakwaan penawaran yang melanggar lunas undang-undang serta cubaan membeli undi di beberapa kawasan sepanjang tempoh kempen PRN berlangsung.
Katanya, amalan politik wang dan cubaan mempengaruhi pengundi menerusi kaedah sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam sistem demokrasi yang matang.
Dalam perkembangan sama, Presiden UMNO itu turu kesal terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa menyekat atau menyenaraihitamkan saluran media tertentu sepanjang tempoh berkempen.
Beliau berkata, tindakan berkenaan bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara yang sebelum ini sering diperjuangkan oleh pihak terbabit.
Katanya, keadaan itu amat dikesali kerana didakwa mencemari proses demokrasi serta mencabuli sistem pilihan raya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya berkempen secara berhemah, sihat dan matang tanpa memainkan sentimen negatif, sebaliknya memberi tumpuan kepada isu yang benar-benar menyentuh kepentingan rakyat.
“Terdapat beberapa sekatan dilakukan di media sosial apabila sesuatu saluran telah di-‘blackout’-kan. Dahulu mereka memperjuangkan kebebasan bersuara, tetapi apabila mempunyai kuasa, perkara itu pula tidak berlaku.
“Walaupun kita tahu undang-undang boleh dipergunakan dan kuasa boleh dipertegaskan, keadilan mesti diberikan kepada semua parti yang bertanding. Berikan kebebasan supaya rakyat dapat memilih antara kaca dan intan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendakwa beberapa individu telah menerima wang secara terus daripada individu yang didakwanya sebagai ‘broker’ politik dari parti lawan.
Menurutnya, kegiatan tersebut bukan sahaja berlaku semalam, malah masih berterusan sehingga hari ini, khususnya di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Pilah dan Jempol.
“Saya fikir keadaan ini amat malang kerana sistem pilihan raya telah dicabuli sedemikian rupa,” katanya. – UTUSAN
The post BN dakwa berlaku taktik beli undi appeared first on Utusan Malaysia.






