
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sekadar persaingan merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menjadi ujian terhadap kekuatan organisasi parti, kewibawaan calon dan keupayaan kepimpinan menterjemahkan kuasa kepada manfaat yang dirasai rakyat.
Dalam landskap politik yang dinamik, kemenangan lalu tidak menjamin kejayaan seterusnya. Pengundi menilai bukan sahaja sejarah sesebuah parti, tetapi juga prestasi semasa, penyelesaian terhadap masalah rakyat dan keyakinan terhadap kepimpinan yang ditawarkan.
Keputusan PRN 2021 memberikan gambaran awal tentang kekuatan parti politik di Melaka. Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi, Pakatan Harapan (PH) lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Namun, penguasaan dari segi jumlah kerusi tidak semestinya mencerminkan sokongan yang kukuh di setiap kawasan. Sebahagian kerusi dimenangi dengan majoriti tipis, menunjukkan bahawa perubahan kecil dalam pola pengundian berpotensi mempengaruhi keputusan.
Angka tersebut ialah rekod sejarah, bukannya jaminan kemenangan pada pilihan raya akan datang.
Realiti ini menjadikan persoalan sama ada BN wajar bertanding secara bersendirian atau bekerjasama dengan parti lain satu pertimbangan strategik yang penting. Keputusan tersebut tidak seharusnya dipengaruhi sentimen atau keinginan membuktikan kekuatan politik semata-mata.
Sebaliknya, penilaian perlu mengambil kira kekuatan jentera, penerimaan pengundi, kedudukan calon dan tahap persaingan di setiap kawasan. Strategi yang berkesan bukanlah strategi yang kelihatan paling berani, tetapi yang mempunyai asas kukuh untuk memperoleh mandat.
Pertandingan secara bersendirian membolehkan BN mempertahankan identiti politik, menentukan calon berdasarkan pertimbangan sendiri dan mengukur penerimaan pengundi terhadap rekod pentadbirannya.
Pendekatan ini juga mengurangkan kebergantungan pada rundingan pembahagian kerusi yang berpotensi mencetuskan pertikaian antara parti. Namun, pertandingan solo bukan bukti kekuatan secara automatik.
Kejayaannya bergantung pada keupayaan mengemukakan calon berwibawa, menggerakkan jentera dengan berkesan dan menawarkan dasar yang menjawab keperluan masyarakat.
Sebaliknya, kerjasama politik juga tidak semestinya menjamin pertambahan undi. Penyokong parti yang berbeza mungkin tidak menerima calon daripada parti rakan, manakala perbezaan ideologi dan kepentingan organisasi boleh menjejaskan kesepaduan kempen.
Penggabungan parti hanya memberikan kelebihan jika sokongan dapat diselaraskan dan diterjemahkan kepada undi sebenar. Oleh itu, ukuran utama bukanlah jumlah parti yang bergabung, tetapi sejauh mana kerjasama tersebut diterima pengundi dan meningkatkan peluang memenangi kerusi.
Bagi BN, pertimbangan strategik itu perlu bermula dengan penilaian objektif terhadap kekuatan dan kelemahan sendiri. Pengalaman pentadbiran, jaringan kepimpinan bahagian dan cawangan serta hubungan dengan masyarakat merupakan aset yang boleh dimanfaatkan.
Namun, nilai aset tersebut bergantung pada sejauh mana ia berfungsi secara konsisten, bukan hanya ketika pilihan raya semakin hampir.
Jentera akar umbi yang berkesan perlu menjadi penghubung berterusan antara kerajaan dengan rakyat, termasuk mengenal pasti masalah setempat dan memastikan aduan diberikan perhatian sewajarnya.
Keperluan menilai kekuatan secara realistik turut ditunjukkan oleh keputusan PRN 2021. Serkam dimenangi BN dengan majoriti 79 undi, Pengkalan Batu dengan 131 undi dan Duyong dengan 200 undi.
Majoriti yang kecil memperlihatkan betapa sensitifnya keputusan di kawasan tertentu terhadap perubahan sokongan. Justeru, label kubu tradisional tidak seharusnya menimbulkan rasa selesa.
Kedudukan politik hanya dapat dipertahankan apabila pengundi mempunyai alasan yang munasabah untuk terus memberikan sokongan.
Walau bagaimanapun, majoriti terdahulu tidak boleh dijadikan satu-satunya asas untuk meramalkan keputusan pilihan raya seterusnya. Perubahan jumlah pemilih, penerimaan terhadap calon, isu setempat dan peralihan sokongan antara parti boleh mengubah corak persaingan.
Analisis kerusi marginal perlu disertai penelitian terhadap perkembangan semasa dan maklum balas pengundi. Tanpa penilaian yang dikemas kini, parti berisiko merancang strategi berdasarkan gambaran politik yang tidak lagi mencerminkan keadaan sebenar.
Seiring dengan penilaian kawasan, pemilihan calon perlu diberikan perhatian yang sama serius. Calon tidak seharusnya dipilih semata-mata berdasarkan kedudukan dalam hierarki parti, hubungan dengan kepimpinan atau kepentingan dalaman organisasi.
Rekod perkhidmatan, integriti, kebolehcapaian dan pemahaman terhadap masalah masyarakat perlu menjadi pertimbangan utama. Calon yang gagal memperoleh kepercayaan pengundi boleh menjejaskan peluang parti, sekali gus memperlihatkan kelemahan proses pemilihan dan penilaian dalaman.
Pada masa yang sama, PH perlu membuktikan bahawa kedudukan politiknya mampu diterjemahkan kepada tawaran pentadbiran yang meyakinkan di Melaka.
Kerjasama dengan BN di peringkat Persekutuan tidak semestinya menjamin kesepakatan di peringkat negeri, khususnya apabila timbul perbezaan mengenai pembahagian kuasa, calon dan hala tuju pentadbiran.
Perbezaan kepentingan antara parti merupakan perkara yang perlu diurus secara matang. Namun, kegagalan menjelaskan asas kerjasama dan matlamat bersama boleh menimbulkan persoalan tentang keberkesanannya di mata pengundi.
Dalam konteks tersebut, sebarang pertikaian berkaitan hubungan politik dan pentadbiran negeri perlu dinilai berdasarkan fakta serta implikasinya terhadap kepentingan awam.
Kenyataan yang bertujuan mempertahankan kedudukan politik tidak memadai tanpa penjelasan tentang kesan keputusan terhadap pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan.
Rakyat berhak mengetahui bagaimana perbezaan antara parti diuruskan dan sama ada pertikaian tersebut menjejaskan keupayaan kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya.
Bagi PN pula, usaha memperluas pengaruh di Melaka memerlukan lebih daripada memanfaatkan ketidakpuasan terhadap kerajaan.
Dua kerusi yang dimenangi pada PRN 2021 menunjukkan bahawa gabungan itu mempunyai asas sokongan, tetapi pengembangan pengaruh memerlukan calon yang berwibawa, pendirian yang konsisten dan cadangan dasar yang praktikal.
Peranan pembangkang bukan sekadar mengkritik kelemahan kerajaan, tetapi turut mengemukakan alternatif yang boleh dinilai dari segi kebolehlaksanaan, kos dan manfaat kepada masyarakat.
Persaingan antara BN, PH dan PN memperlihatkan bahawa identiti parti tidak menjamin kesetiaan pengundi. Keutamaan masyarakat berubah mengikut keadaan ekonomi, pengalaman dengan wakil rakyat dan persepsi terhadap kepimpinan.
Sentimen politik nasional juga boleh mempengaruhi pilihan di peringkat negeri, tetapi kesannya berbeza mengikut kawasan dan latar pengundi.
Oleh itu, andaian bahawa sokongan tradisional akan terus kekal tanpa usaha memperkukuh kepercayaan merupakan pendekatan yang tidak memadai untuk menghadapi persaingan semasa.
Atas dasar itu, setiap parti perlu mengakui bahawa tiada strategi yang bebas daripada risiko.
BN tidak boleh bergantung sepenuhnya pada rekod kemenangan lalu, PH tidak boleh menganggap kedudukannya dalam politik nasional menjamin penerimaan di Melaka, manakala PN tidak boleh mengandaikan ketidakpuasan terhadap kerajaan akan secara automatik meningkatkan sokongannya.
Setiap parti perlu membuktikan kekuatan melalui dasar, integriti calon dan keupayaan mentadbir. Kelemahan pesaing tidak boleh menggantikan keperluan membina tawaran politik yang meyakinkan. – UTUSAN
DR. Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
The post BN-PN atau PH di Melaka? appeared first on Utusan Malaysia.




