
MELAKA – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dijangka menyaksikan persaingan lebih tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Ketua Pemuda Bersatu Melaka, Muhammad Jefri Safri, antara nama yang dikaitkan dengan kemungkinan bertanding di situ.
Setakat ini, Parti Bersama Malaysia (Bersama) sudah mengumumkan calonnya bagi kerusi berkenaan iaitu Dr Muhammad Solehin Saleh, 40, yang juga abang Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhammad Akmal, pada Ogos lalu.
Selain Solehin, dua lagi nama yang turut dikaitkan dengan persaingan di Bemban ialah Ketua Biro Guaman (Perundangan) DAP Negeri Melaka, yang juga Ketua Pasukan Perkhidmatan DAP DUN Bemban, Mathan Anandaram, 37.
Tidak ketinggalan, nama Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras DUN (Japerun) Bemban, Mohd. Raziff Yakop atau lebih dikenali sebagai Mohd Raziff Adip, turut dikaitkan sebagai antara calon berpotensi mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan.
Malah, penyandang kerusi itu, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub, 52, turut disebut-sebut berkemungkinan mempertahankan kerusi yang dimenanginya menerusi tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka 2021, namun kini bersama Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Sementara itu, Muhammad Jerfi, 30, yang juga Ketua Bersatu Bahagian Jasin mula menjadi perhatian susulan pembabitan aktifnya dalam pelbagai program kemasyarakatan dan kebajikan di sekitar Bemban.
Antara aktiviti yang dikaitkan dengan bekas calon PN di DUN Sungai Rambai pada PRN lalu, termasuk sumbangan beras kepada bakal pengantin, bantuan kepada keluarga memerlukan serta usaha membaik pulih kediaman penduduk.
Muhammad yang mesra dipanggil Dak Jep juga fasih berbahasa Mandarin untuk mendekati masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan yang majoritinya Melayu.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada Muhammad atau kepimpinan Bersatu berhubung kemungkinan beliau dicalonkan di Bemban.
Pada PRN Melaka 2021, Dr. Mohd. Yadzil memenangi kerusi itu dengan majoriti 328 undi selepas memperoleh 4,211 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Beliau menewaskan calon BN, Koh Chin Han yang mendapat 3,883 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Tey Kok Kiew, dengan 3,095 undi.
Dua calon Bebas turut bertanding pada pilihan raya itu iaitu Ng Choon Koon yang memperoleh 850 undi dan Azmi Kamis dengan 130 undi.
Berdasarkan rekod PRN 2021, DUN Bemban mempunyai 18,573 pengundi, dengan kadar keluar mengundi sebanyak 66.8 peratus.
Sebelum itu, kerusi Bemban dimenangi MCA mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 sebelum dirampas DAP menerusi Datuk Dr Wong Fort Pin pada PRU14 pada 2018.
Bagaimanapun, kerusi itu beralih kepada Bersatu menerusi tiket PN pada PRN Melaka 2021.
The post Dak Jep disebut jadi calon DUN Bemban appeared first on Kosmo Online.






