BN Tawar 3 Jawatan TPM Jika Menang PRU-15

Politics
23 Oct 2022 • 4:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika tiba pada program Gelombang Biru BN, Zon 3 di Kimanis Commercial Center hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) menawarkan tiga slot untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya parti itu berjaya menubuhkan kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatan tiga Timbalan Perdana Menteri itu, masing-masing dikhususkan untuk pemimpin dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“…ditetapkan dalam manifesto (BN) akan ada jawatan Timbalan Perdana Menteri dari rakyat Sabah, ada jawatan Timbalan Perdana Menteri dari rakyat Sarawak.

“Dan ada Timbalan Perdana Menteri dari rakyat Semenanjung,” katanya.

Tawaran itu dinyatakan beliau ketika berucap pada Himpunan Gelombang Biru di Kimanis, Sabah.

Klip rakaman ucapan tersebut dikongsikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi Twitter hari ini.

Ahmad dalam ciapan sama berkata, tawaran itu adalah bagi menggantikan jawatan empat Menteri Kanan yang diwujudkan buat masa ini.

“Di Kimanis, Sabah, Presiden UMNO, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Himpunan Gelombang Biru umum dalam manifesto BN akan ada tiga Timbalan Perdana Menteri (satu di Sabah, satu Sarawak, satu Semenanjung. 

“Ganti empat Menteri Kanan. Tawaran ini sangat baik, jika BN menang pada PRU-15,” katanya.

Biarpun belum mengumumkan secara rasmi perinciannya, BN menawarkan manifesto dengan bertemakan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.

Tema manifesto itu adalah sama yang digunakan parti terbabit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini. - Getaran, 23 Oktober 2022

View Original Article