PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini menyaksikan landskap politik berbeza khususnya dalam soal persefahaman dan kerjasama antara gabungan parti.
Sebagai contoh Barisan Nasional (BN) mempunyai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan, tetapi mempunyai persefahaman dengan PN di Negeri Sembilan.
Mengakui memasuki medan pertandingan sebagai 'underdog', BN tetap optimis mampu memberikan saingan menerusi kekuatan jentera, kesatuan dalaman parti dan pengalaman mentadbir yang menjadi sandaran untuk meraih semula kepercayaan pengundi.
Dalam soal jawab, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan pendirian parti berhubung strategi kempen, hubungan dengan PH dan PN, selain mengulas cadangan mewujudkan identiti politik baharu susulan persefahaman antara BN dan PN pada PRN kali ini.
Beliau turut berkongsi mesej utama yang ingin disampaikan kepada rakyat Negeri Sembilan, selain menegaskan komitmen BN untuk menawarkan politik stabil, sederhana dan mengutamakan kepentingan rakyat tanpa menjejaskan komitmen parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Bagaimanakah Datuk Seri melihat kedudukan Barisan Nasional dalam PRN Negeri Sembilan?
Zambry: Seperti yang telah dinyatakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kita memasuki Pilihan Raya Negeri Sembilan sebagai pihak 'underdog'.
Kita memahami kedudukan semasa dan tidak sesekali mahu mendabik dada atau memandang ringan kekuatan pihak lain. Namun demikian, kita menghadapi pilihan raya ini dengan semangat dan keyakinan yang baharu.
Keyakinan itu bukan berasaskan sentimen semata-mata, tetapi lahir daripada kesiapsiagaan jentera, kesatuan dalam parti dan sambutan rakyat yang semakin positif terhadap pendekatan politik BN.
Apakah yang dimaksudkan dengan 'keyakinan baharu' tersebut?
Zambry: Keyakinan baharu bermaksud kita bergerak sebagai sebuah pasukan yang mantap, berdisiplin dan tidak berpecah-belah. Datuk Seri Mohamad Hasan memimpin gerak kerja kempen dengan pengalaman dan kewibawaan beliau.
Usaha tersebut dibantu dengan baik oleh Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, bersama seluruh kepimpinan dan jentera parti di semua peringkat.
Di peringkat BN, kerjasama antara parti-parti komponen juga berada dalam keadaan baik. UMNO, MCA, MIC, PPP, PBRS serta Friends of BN bergerak bersama, saling membantu dan tidak bercakaran sesama sendiri.
Inilah kekuatan utama kita—kesatuan pasukan, kejelasan arah dan kemantapan jentera. Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu selesa atau lalai. Setiap kerusi mesti diberikan perhatian, setiap pengundi mesti disantuni dan setiap jentera mesti terus bekerja sehingga saat akhir.
Mengapakah BN tidak bersama PH dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan kali ini?
Zambry: Perkara itu tidak perlu dipanjangkan atau dijadikan bahan untuk mencetuskan pertelingkahan. Realiti politik dan keputusan yang dibuat sudah berada di hadapan kita.
BN memasuki pilihan raya ini dengan menghormati ruang dan proses demokrasi. Setiap parti mempunyai hak untuk menawarkan calon, dasar dan pendekatan masing-masing kepada rakyat.
Apa yang penting, perbezaan dalam pilihan raya tidak seharusnya membawa kepada permusuhan atau perbalahan yang berpanjangan. Kita boleh bersaing secara matang, berhemah dan menghormati satu sama lain.
Pendekatan BN sentiasa berpaksikan politik yang mesra rakyat—turun ke bawah, mendengar permasalahan mereka dan menawarkan penyelesaian yang realistik.
Adakah kerjasama atau persefahaman dengan PN dalam pilihan raya ini menandakan berakhirnya hubungan BN dengan PH di peringkat Persekutuan?
Zambry: Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan penegasan yang jelas bahawa BN akan terus mengotakan janji dan menghormati komitmennya dalam Kerajaan Perpaduan.
Komitmen tersebut dibuat atas kepentingan lebih besar, iaitu untuk memastikan negara terus stabil, aman dan dapat ditadbir dengan baik. Pilihan raya negeri mempunyai dinamika dan pertimbangannya yang tersendiri.
Ia tidak semestinya mengubah komitmen BN terhadap kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan. Dalam politik, kita perlu membezakan antara persaingan dalam pilihan raya dengan tanggungjawab mentadbir negara. Kepentingan rakyat dan kestabilan negara mesti terus menjadi keutamaan.
Apakah pandangan Datuk Seri terhadap cadangan Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya gabungan BN dan PN dinamakan sebagai 'Perikatan Barisan Nasional'?
Zambry: Itu merupakan satu cadangan dan kita menghormati hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pandangan. Namun, pada pandangan saya, tidak ada keperluan untuk kita mencipta nama gabungan yang baharu.
Barisan Nasional ialah Barisan Nasional, manakala Perikatan Nasional ialah Perikatan Nasional. Kedua-duanya mempunyai identiti, sejarah, struktur dan pendirian masing-masing.
Apa-apa bentuk kerjasama atau persefahaman dalam sesuatu pilihan raya tidak semestinya memerlukan pembentukan sebuah identiti politik yang baharu.
Lebih baik kita memberikan tumpuan kepada perkara lebih utama—memperkukuh jentera, mendekati rakyat dan menawarkan pentadbiran yang stabil serta berkesan kepada Negeri Sembilan.
Apakah mesej utama BN kepada para pengundi Negeri Sembilan?
Zambry: Mesej kita mudah dan jelas. BN menawarkan politik stabil, sederhana dan berpijak pada realiti kehidupan rakyat. Kita datang bukan sekadar membawa slogan, tetapi membawa pengalaman mentadbir, pasukan yang tersusun dan kesediaan untuk bekerja.
Kita mahu membina Negeri Sembilan dengan memberikan tumpuan kepada peluang pekerjaan, kos sara hidup, pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat, kemudahan asas dan masa depan generasi muda.
Akhirnya, rakyatlah yang akan membuat penilaian. Kita menghormati kebijaksanaan mereka dan akan terus bekerja dengan penuh rendah hati untuk mendapatkan mandat serta kepercayaan mereka.





