‘Sanusi, Jangan Campur Tangan Kempen Di Negeri Sembilan’ - Zahid Hamidi

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 9:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Sanusi, Jangan Campur Tangan Kempen Di Negeri Sembilan’ - Zahid Hamidi

KUALA PILAH - Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkansupaya lebih berhati-hati dalam retorik politik dimainkannya, sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Memberikan amaran itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu yang menyentuh kaum, agama dan budaya boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Menurut beliau, usaha memperkukuhkan perpaduan umat Islam tidak seharusnya disertai dengan kenyataan yang boleh menyinggung atau menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat lain.

“Saya ingin memberi respons terhadap kenyataan Datuk Seri Sanusi. Ucapan beliau mungkin sesuai untuk khalayak di Kedah. Saya tidak berniat menasihatinya, tetapi beliau perlu lebih berhati-hati,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Salam Agrikomoditi’ di Dataran Melang di sini hari ini.

Zahid menyatakan demikian sebagai mengulas ucapan kempen terbaru Muhammad Sanusi, termasuk kenyataannya mengenai konsep “Tanah Melayu” yang menjadi perhatian sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menggunakan perumpamaan, Ahmad Zahid berkata, Muhammad Sanusi perlu tahu bila masanya untuk memperlahankan pendekatan yang digunakan.

“Walaupun ada harimau di dalam dada, apa yang lebih sesuai keluar daripada mulutnya hanyalah kambing. 

“Saya tidak mahu timbul pelbagai tafsiran yang akhirnya menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pelbagai kaum,” katanya, sinis. 

Beliau berkata, usaha memupuk perpaduan umat Islam boleh dilaksanakan tanpa membangkitkan isu berkaitan kaum, agama, budaya atau identiti masyarakat lain.

"Saya percaya kepada kepelbagaian rakyat Malaysia. Tidak perlu menyentuh sensitiviti masyarakat lain. Jika mahu berkawan, berkawanlah dengan cara yang baik,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu turut mencadangkan supaya Muhammad Sanusi tidak meneruskan kempen di Negeri Sembilan pada penghujung tempoh berkempen, sebaliknya menyerahkan urusan tersebut kepada pemimpin tempatan.

“Dengan hanya berbaki enam hari sebelum Sabtu, adalah lebih baik jika beliau tidak datang ke Negeri Sembilan. Biarlah kami menguruskan negeri ini dengan cara kami sendiri,” katanya.

Jelas Presiden UMNO itu, pemimpin politik seharusnya menumpukan perhatian kepada pembentangan pelan dan penyelesaian kepada rakyat, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum.

Beliau menambah, perbezaan politik sememangnya tidak dapat dielakkan, namun ia perlu ditangani secara matang dan saling menghormati. - Getaran, 25 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved