BN, UMNO tidak kompromi penyelewengan TH – Ahmad Zahid

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 11:59 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BN, UMNO tidak kompromi penyelewengan TH – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak akan berkompromi sekiranya terdapat individu atau pihak yang didapati melakukan penyelewengan, pecah amanah atau pelanggaran tadbir urus berdasarkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan Tabung Haji (TH).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak yang didapati melakukan kesalahan perlu berdepan dengan akibat daripada tindakan mereka.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, segala tindakan susulan terhadap laporan RCI itu akan ditentukan selepas pembentangan dan perbahasan dibuat di Dewan Rakyat.

“Pembentangan akan dilakukan pada 11 Ogos ini di Dewan Rakyat dan perbahasan akan diadakan.

“Pendirian BN dan UMNO, jika benar ada individu ataupun sekumpulan pihak yang melakukan penyelewengan atau pecah amanah atau melakukan kerja-kerja tadbir urus yang tidak selari dengan tata kelola sesebuah organisasi kerajaan, apatah lagi badan berkanun, maka konsekuensinya akan dihadapi oleh mereka.

“Saya tidak fikir kita harus berkompromi jika unsur-unsur negatif itu dilakukan oleh mereka,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin supaya kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap pihak yang dikaitkan dalam laporan RCI berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sekiranya laporan RCI itu hanya mengandungi syor atau rekomendasi tanpa membuktikan sebarang salah laku, maka perkara tersebut perlu diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Tetapi jika berlaku sebaliknya, maka tentunya laporan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja itu hanya mengemukakan rekomendasi.

“Apakah tindakan selanjutnya akan dilakukan, kita akan bahaskan dan bincangkan pada 11 Ogos ini di Dewan Rakyat nanti,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa satu sidang khas Parlimen akan diadakan pada 11 Ogos untuk membahaskan penemuan laporan RCI mengenai Tabung Haji.

Sidang khas tersebut diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri untuk menyahklasifikasikan laporan berkenaan dan membolehkan agensi penguat kuasa menjalankan siasatan lanjut berdasarkan dapatan yang dikemukakan.

Laporan RCI itu antara lain mengesyorkan pelaksanaan audit forensik terhadap beberapa keputusan pelaburan lampau yang dikatakan menyumbang kepada kemerosotan ketara nilai aset Tabung Haji.-UTUSAN

The post BN, UMNO tidak kompromi penyelewengan TH – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved