Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya dipersalahkan secara keseluruhan berhubung kontroversi yang membabitkan Tabung Haji (TH).

Sebaliknya, beliau berkata, pihak yang benar-benar bertanggungjawab terhadap salah urus institusi itu perlu dipertanggungjawabkan, bukannya meletakkan kesalahan kepada parti atau gabungan politik secara menyeluruh.
Memetik laporan Free Malaysia Today, menurut Reezal, cubaan mengaitkan isu tersebut dengan UMNO dan BN adalah tidak adil kerana kegagalan yang berlaku perlu dinilai berdasarkan individu yang terbabit.
“(Bekas pengerusi TH) Abdul Azeez Abdul Rahim sendiri telah menyatakan bahawa beliau bersedia berdepan siasatan jika diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas program pengagihan Jalur Gemilang di kawasan Parlimennya, hari ini.
Rabu lalu, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) setebal 252 muka surat berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 telah dinyahklasifikasikan sebelum didedahkan kepada umum.
Antara penemuan utama RCI ialah TH didapati menyembunyikan kedudukan kewangan sebenar selama beberapa tahun. Laporan itu menyatakan institusi berkenaan melaporkan keuntungan RM3.4 bilion bagi tahun 2017, sedangkan mengikut piawaian perakaunan yang betul, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion, sekali gus menunjukkan perbezaan hampir RM4.8 bilion.
Mengulas perkara itu, Reezal berkata isu melibatkan TH perlu ditangani secara berhati-hati memandangkan institusi berkenaan mempunyai kira-kira 9.7 juta pendeposit, dengan 53 peratus daripadanya memiliki simpanan kurang daripada RM1,300.

“Laporan RCI itu jelas: terdapat pihak yang perlu dipertanggungjawabkan. Ada pihak yang perlu menjawab berhubung penemuan laporan tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, Reezal turut menolak dakwaan bahawa UMNO mengamalkan rasuah atau melindungi individu yang terlibat dengan salah laku tersebut.
Beliau berkata, parti itu sebelum ini telah mengambil tindakan terhadap pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah, termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Harun Idris yang pernah dipenjarakan.
Artikel laiN: Sudah tiba masanya UMNO berlaku jujur, akui kegagalan tadbir urus TH – KJ
Menurutnya, tuduhan yang menggambarkan seolah-olah seluruh anggota UMNO dan BN terlibat dalam amalan rasuah adalah tidak wajar, terutama apabila ia dikaitkan dengan isu membabitkan Tabung Haji.
“Saya bimbang perkara ini akan menjejaskan keyakinan pendeposit dan memberi kesan negatif terhadap persepsi awam. Isu ini perlu diselesaikan dan tindakan perlu diambil, tetapi pada masa sama ia perlu dikendalikan dengan kebijaksanaan bagi memastikan ia tidak menyebabkan kerugian kepada semua pihak,” tambahnya lagi.
Sumber: Free Malaysia Today (Dineskumar Ragu)






