BN yakin kemelut rundingan kerusi selesai sebelum penamaan calon

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 1:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BN yakin kemelut rundingan kerusi selesai sebelum penamaan calon

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) memberi jaminan kemelut rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bagi membincangkan perkara itu.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, perbincangan secara muafakat menjadi pendekatan BN dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul antara parti komponennya.

“Ya, kita sahkan selesai sebelum penamaan calon. Dan saya ingin sebutkan bahawa insya-Allah perkara itu dapat kita tangani dengan baik.

“Alhamdulillah kami dapat duduk bersama-sama dan kita akan mencapai penyelesaian yang sebaik-baiknya demi BN dan kita tidak akan berpecah dalam soal pertandingan untuk Pilihan Raya Negeri Melaka ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan MCA sebelum ini yang dilapor tidak akan mengiktiraf mana-mana calon BN bagi PRN Melaka.

Zambry berkata, BN mempunyai pendekatan tersendiri dalam menangani perbezaan pandangan, termasuk melalui perbincangan secara tertutup dan bukannya pertelingkahan secara terbuka.

“Tapi pendekatan BN ialah kita mengambil pendekatan perbincangan musyawarah. Semangat BN ini sudah lama, bila ada masalah kita duduk, kita tidak bincang secara terbuka, bergaduh secara terbuka, kalau ada perkara yang menjadi masalah kita duduk,” katanya.

Sebelum ini, Ka Siong dilaporkan berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, selain mendakwa kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu diberikan kepada parti lain.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan berhubung kedudukan dua penyandang MCA yang diumumkan BN sebagai calon pada malam Sabtu lalu iaitu Datuk Ngwe Hee Sem bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di Klebang.

Pada PRN Melaka 2021, MCA bertanding di tujuh kerusi DUN, iaitu Bemban, Machap Jaya, Klebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. Namun, parti itu hanya memenangi dua kerusi, masing-masing di Machap Jaya dan Klebang. – UTUSAN

The post BN yakin kemelut rundingan kerusi selesai sebelum penamaan calon appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved