BN yakin kuasai lebih 21 kerusi di Melaka - Ahmad Maslan

LocalPolitics
3 Oct 2026 • 12:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: BN yakin kuasai lebih 21 kerusi di Melaka - Ahmad Maslan
Ahmad (duduk, tiga dari kanan) selepas Mesyuarat Agung Pertubuhan Kebajikan Pemulihan dalam komuniti (PKPDK) Sinar Bakti di Lorong Bilal, Pontian.

PONTIAN- Barisan Nasional (BN) yakin mampu memenangi lebih 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berdasarkan prestasi kerajaan negeri dan penerimaan rakyat terhadap program yang dilaksanakan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keyakinan itu turut mengambil kira kemungkinan kerjasama dengan Pas yang kini masih diperingkat rundingan serta perbincangan.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO memberitahu, sudah beberapa kali turun padang ke Melaka, termasuk mengadakan perbincangan bersama War Room Melaka bagi menilai perkembangan politik serta sentimen semasa rakyat di negeri itu.

“Kita ada keyakinan untuk menang 21 atau lebih kerusi berdasarkan prestasi kerajaan negeri Melaka yang cukup baik di mata rakyat.

“Program Exco bersama rakyat, program Melaka Sayang Rakyat dan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat, semuanya dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan baik.

"Mereka juga buat hari terbuka di 28 kawasan DUN, dengan Exco turun, pegawai kerajaan turun untuk menyelesaikan masalah rakyat. Beribu masalah rakyat dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Kebajikan Pemulihan dalam komuniti (PKPDK) Sinar Bakti di Lorong Bilal, dekat sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kerja Raya turut berharap rundingan bersama Pas dapat diteruskan bagi menentukan bentuk kerjasama yang sesuai untuk menghadapi PRN Melaka.

“Pada saya, jika Pas bersetuju, saya kira elok sangat diteruskan,” ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan rundingan dan perbincangan dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sedang berjalan.

Menurut beliau, proses rundingan termasuk penggunaan logo juga berlangsung positif antara kedua-dua belah pihak.

Pada PRN Melaka ke-15 yang diadakan pada 20 November 2021, BN membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 21 daripada keseluruhan 28 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved