Siti Hasmah banyak berjasa kepada negara, terutama wanita – Ahmad Zahid

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 7:08 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Siti Hasmah banyak berjasa kepada negara, terutama wanita – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali merupakan kehilangan besar kepada negara kerana Allahyarham banyak menabur jasa terutama kepada golongan wanita dan ahli Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Allahyarham sekian lama berkhidmat kepada masyarakat.

“Kami merasakan kehilangan teramat sangat kerana Allahyarham telah banyak menabur jasa terutama dalam kalangan wanita dan ahli-ahli Bakti.

“Isteri saya baru berjumpa dengan Allahyarham di rumah ini (kediaman Dr. Siti Hasmah), Isnin minggu lalu. Mereka bercerita kisah-kisah lama.

“Kata-kata terakhir beliau yang diceritakan oleh isteri saya, beliau banyak berce­rita tentang Tuhan, tentang alam barzakh, tentang padang mahsyar seolah-olah beliau mengetahui yang beliau akan pergi selama-lamanya,” katanya ke­tika ditemui di kediaman ­Allahyarham di The Mines Residence di sini, semalam.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar keluarga Tun Dr. Mahathir Mohamad diberi kekuatan menghadapi kehilangan itu.
“Kami berdoa agar keluarga beliau kuat dan beliau ditempatkan di sisi hamba-hamba yang beriman, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Dr. Siti Hasmah mempunyai peranan besar dalam bidang perubatan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar ketika bertugas di Kedah.

Beliau berkata, sebagai seorang doktor perubatan dan penjawat awam, Allahyarham mempunyai hubungan yang begitu dekat dengan negeri itu.

“Allahyarham pernah ber­khidmat di negeri ini dan mencurahkan bakti dalam bidang kesihatan awam, khususnya dalam usaha mempertingkat kesihatan ibu dan anak serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.

“Jasa dan sumbangan Allahyarham kepada rakyat Kedah bukan sekadar tercatat dalam sejarah perkhidmatan kesihatan negeri malah terpahat dalam ingatan masyarakat yang pernah menerima khidmat dan bakti beliau,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau mewakili kerajaan ne­geri Kedah menzahirkan ucapan takziah kepada Dr. Mahathir dan seluruh keluarga atas pemergian itu.-UTUSAN.

The post Siti Hasmah banyak berjasa kepada negara, terutama wanita – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved